PBB dedah Korea Utara hukum mati rakyat kerana menonton filem dan drama asing

PYONGYANG – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan kerajaan Korea Utara meningkatkan penindasan terhadap rakyatnya dengan memperluaskan kawalan elektronik serta melaksanakan hukuman mati secara terbuka terhadap individu yang menonton atau berkongsi filem atau drama asing.
Dalam laporan baharu setebal 16 muka surat yang dikeluarkan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB pada Jumaat, Korea Utara digambarkan sebagai sebuah negara totalitarian yang semakin menutup akses rakyatnya daripada dunia luar di bawah kepimpinan Kim Jong Un.
“Tiada populasi lain di dunia hari ini yang berdepan sekatan sedemikian,” menurut kenyataan laporan itu yang bersandarkan kepada temu bual bersama 314 mangsa dan saksi yang melarikan diri dari negara tersebut sejak 2014.
PBB menegaskan bahawa hukuman mati kini lebih meluas dibenarkan oleh undang-undang Korea Utara dan semakin kerap dilaksanakan, khususnya terhadap kesalahan menonton atau berkongsi kandungan asing termasuk drama popular Korea Selatan.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa kerajaan menjalankan perbicaraan serta hukuman mati secara terbuka sejak 2018, dengan tindakan semakin keras selepas 2020, bertujuan menakutkan rakyat dan mencegah penentangan.
Pihak berkuasa juga dilaporkan melakukan pemeriksaan komputer, radio, televisyen dan penggeledahan rumah tanpa waran, atas alasan membanteras tingkah laku ‘anti-sosialis’ serta menjaga keselamatan negara.
Seorang pelarian memberitahu penyelidik bahawa langkah itu bertujuan “menutup mata dan telinga rakyat” agar tiada ruang untuk rasa tidak puas hati atau aduan.
Dalam negara komunis itu, semua media dikawal ketat oleh kerajaan, manakala akses internet hampir tiada. Sebaliknya, kerajaan hanya mengendalikan sistem intranet tertutup yang digunakan institusi penyelidikan serta pegawai kerajaan.
Menurut PBB, undang-undang terbaharu turut menyekat akses kepada maklumat asing serta melarang penggunaan bahasa yang tidak selaras dengan ideologi dan budaya sosialis.
Undang-undang itu memperuntukkan hukuman berat, termasuk hukuman mati, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.
Bagaimanapun, laporan PBB menyatakan ramai rakyat Korea Utara masih berusaha mendapatkan kandungan terlarang dari luar walaupun menyedari risiko yang semakin besar.-Agensi
Ringkasan AI
- PBB mendedahkan Korea Utara meningkatkan penindasan terhadap rakyatnya dengan memperluaskan kawalan elektronik dan melaksanakan hukuman mati terhadap individu yang menonton atau berkongsi filem atau drama asing
- Korea Utara digambarkan sebagai sebuah negara totalitarian yang menutup akses rakyatnya daripada dunia luar di bawah pimpinan Kim Jong Un
- Hukuman mati kini lebih meluas dibenarkan oleh undang-undang Korea Utara dan semakin kerap dilaksanakan terhadap kesalahan menonton atau berkongsi kandungan asing
- Pemeriksaan komputer, radio, televisyen dan penggeledahan rumah tanpa waran dilakukan atas alasan membanteras tingkah laku anti-sosialis dan menjaga keselamatan negara
- Undang-undang terbaharu di Korea Utara menyekat akses kepada maklumat asing dan melarang penggunaan bahasa yang tidak selaras dengan ideologi sosialis, memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

