Dua rakan didakwa edar 103kg syabu berdepan hukuman mati

KUALA LUMPUR - Dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis syabu lebih 100 kilogram, dua minggu lalu.
Fathi Fikri A'shaari dan Ahmad Syakir Khalid masing-masing berumur 36 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka yang juga peniaga didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 103,326 gram di sebuah rumah di Jalan Tasik Damai, Taman Tasik Impian, Sungai Besi, pada 11.50 pagi, 10 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham manakala peguam, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff hadir mewakili Fathi Fikri dan Ahmad Syakir oleh peguam, Shah Rizal Abdul Manan.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Ringkasan AI
- Dua rakan didakwa mengedar syabu lebih 100 kilogram di Kuala Lumpur
- Ditangkap di sebuah rumah di Jalan Tasik Damai, Taman Tasik Impian, Sungai Besi
- Tiada pengakuan direkodkan, kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi
- Mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, hukuman boleh mencapai mati atau penjara seumur hidup
- Mahkamah menetapkan tarikh 22 Disember untuk sebutan semula kes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

