Video lucah AI: Ahli Parlimen Tebrau lapor polis, e-mel diterima beri tekanan politik

Jimmy (tengah), menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Jimmy (tengah), menunjukkan laporan polis yang dibuat.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse membuat laporan polis selepas mendakwa menerima e-mel berunsur ugutan yang mengaitkan dirinya dengan satu video lucah.

Menurut Naib Pengerusi PKR Johor itu, beliau menerima e-mel berkenaan pada jam 5.50 petang Isnin ketika berada di rumahnya di Wateredge Residences, Senibong Cove, Masai.

"Saya membuat laporan polis ini setelah menerima e-mel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki gambar dan video lucah saya selain menuntut wang tebusan berjumlah USD100,000 (RM470,000).

"Pengirim e-mel turut mengugut untuk menyebarkan gambar berkenaan ke pelbagai platform sekiranya tuntutan tidak dipenuhi dalam tempoh tiga hari.

"Malah, pengirim e-mel ini turut memberikan kod QR sebagai kaedah pembayaran," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya di sini pada Selasa.

Jimmy menjadi mangsa terbaharu menerima e-mel ugutan berkaitan video lucah palsu menggunakan kecerdasan buatan (AI), sebagaimana dialami beberapa wakil rakyat sebelum ini.

"E-mel ini berunsur ugutan kerana mengandungi video lucah palsu menggunakan wajah saya yang disunting dengan teknologi AI.

"E-mel ini juga bertujuan mencemarkan reputasi saya serta memberi tekanan politik kepada saya.

"Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera termasuk menggubal undang-undang bagi membendung salah guna teknologi AI ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad mengesahkan menerima laporan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)," katanya.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, mendakwa menerima e-mel berunsur ugutan yang berkaitan dengan video lucah
  • E-mel ugutan meminta tebusan USD100,000 dan mengugut akan menyebarkan video lucah palsu jika tuntutan tidak dipenuhi
  • Video lucah itu disunting menggunakan teknologi AI dengan wajah Jimmy
  • Jimmy berharap pihak berkuasa dapat menggubal undang-undang untuk membendung salah guna teknologi AI
  • Kes ini disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!