Exco Sukan Selangor dakwa jadi sasaran video lucah palsu guna AI

SHAH ALAM - Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi mendakwa dirinya menjadi mangsa terbaharu penyebaran video lucah palsu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari turut berdepan dengan ugutan sama.
Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik mendedahkan, ugutan diterima menerusi e-mel daripada pihak tidak dikenali menggunakan AI untuk mencipta video palsu berunsur lucah.
Menurutnya, e-mel yang diterima dua hari lalu turut disertakan dengan tangkap layar video menyerupai wajahnya sebelum beliau diminta membayar wang tebusan berjumlah AS$100,000 (RM445,000) bagi mengelak ia disebarkan.
“Ugutan seumpama ini adalah jenayah serius yang jelas bertujuan mengancam keselamatan serta menjatuhkan maruah saya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan dijalankan berhubung penyalahgunaan teknologi AI ini selain laporan polis bagi siasatan menyeluruh.
Katanya, dalang di sebalik ugutan itu dipercayai menggunakan modus operandi sama yang turut dialami ketiga-ketiga Ahli Parlimen PKR yang dinyatakan tadi.
Justeru, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan penipuan siber yang memanipulasi teknologi terkini hingga sanggup mencemarkan maruah individu.
"Penyebaran kandungan palsu dan fitnah bukan sahaja mengaibkan seseorang, malah mengancam keselamatan serta keharmonian masyarakat," tegas beliau.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Rafizi menerima ugutan melalui e-mel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah kononnya melibatkan dirinya bersama seorang lelaki.
Ringkasan AI
- Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi menjadi mangsa penyebaran video lucah palsu menggunakan teknologi AI
- Ahli Parlimen Pandan, Subang, dan Sungai Petani juga berdepan ugutan serupa
- Mohd Najwan menerima e-mel ugutan yang meminta bayaran tebusan AS$100,000 untuk tidak menyebarkan video palsu tersebut
- Beliau telah membuat laporan kepada SKMM dan polis untuk siasatan
- Mohd Najwan menasihatkan masyarakat agar berwaspada terhadap penipuan siber yang menggunakan teknologi terkini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

