Sembilan wakil rakyat kerajaan terima emel ugutan video palsu

Fahmi mengesahkan seramai sembilan wakil rakyat kerajaan dilaporkan menerima emel berunsur ugutan disertakan tangkap layar video palsu berasaskan AI
Fahmi mengesahkan seramai sembilan wakil rakyat kerajaan dilaporkan menerima emel berunsur ugutan disertakan tangkap layar video palsu berasaskan AI
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan wakil rakyat kerajaan dilaporkan menerima emel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau turut menerima emel ugutan yang sama.

Menurut Fahmi, modus operandinya sama iaitu pelaku mengugut untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima gagal membuat bayaran dalam jumlah tersebut.

“Semakan mendapati kesemua emel terbabit menggunakan ayat hampir sama disertakan dengan tangkap layar serupa dan dipercayai dihantar daripada alamat emel yang sama.

“Antara yang menerima emel tersebut ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; ADUN Kulim, Wong Chia Zen; dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi serta Wong Chen turut mendedahkan di media sosial bahawa mereka menerima emel ugutan serupa, dengan mesej dan tangkap layar sama digunakan bagi menakut-nakutkan mangsa.

Dr Taufiq Johari pula mendedahkan emel ugutan diterimanya pada 12 September lalu, dengan tuntutan bayaran USD100,000 agar video lucah palsu berasaskan AI itu tidak disebarkan. Beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta akan membuat laporan polis.

Sementara itu, Mohd Najwan Halimi turut mengesahkan beliau menerima ugutan sama. Beliau menyifatkan cubaan tersebut sebagai jenayah serius yang bertujuan menjatuhkan maruah dan keselamatan diri, selain menegaskan laporan kepada MCMC sudah dibuat dan tindakan lanjut akan diambil bersama pihak polis.

Fahmi menegaskan kerajaan memandang serius insiden tersebut dan sudah mengarahkan MCMC bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan serta menjejak penjenayah yang menghantar emel ugutan itu melalui aplikasi Gmail milik Google.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Beliau menegaskan kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi serta rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.

“Segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sembilan wakil rakyat kerajaan menerima emel berunsur ugutan disertakan dengan video palsu AI dan tuntutan bayaran AS$100,000
  • Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil juga menerima emel ugutan yang sama
  • Modus operandi pelaku adalah mengugut akan menyebarkan video palsu tersebut jika gagal membuat bayaran
  • Kerajaan mengarahkan MCMC bekerjasama dengan PDRM untuk mengesan penjenayah yang menghantar emel ugutan itu
  • Menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!