Jimmy Puah, Ahli Parlimen PKR terbaharu terima ugutan guna video lucah palsu

JOHOR BAHRU- [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menjadi mangsa terbaharu menerima e-mel ugutan berkaitan video lucah palsu yang dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI), sebagaimana turut menimpa beberapa wakil rakyat baru-baru ini.
Naib Pengerusi PKR Johor itu berkata, beliau menerima e-mel berbaur ugutan tersebut pada petang Isnin.
"Pada jam 5.30 petang tadi (15 September), saya menerima emel berunsur ugutan yang mengandungi video lucah palsu dengan wajah saya yang dipercayai disunting menggunakan teknologi AI deepfake.
"Ia bertujuan mencemarkan reputasi saya dan memberi tekanan politik," katanya menerusi muat naik di laman Facebooknya pada Isnin.
Bekas Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor itu turut memaklumkan akan membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada pagi Selasa.
"Beberapa Ahli Parlimen turut menjadi mangsa serangan siber bermotif ini. Ia sangat merosakkan imej kami sebagai ahli politik.
"Saya berharap pihak polis dan MCMC dapat bertindak segera bagi melindungi maruah kami.
"Saya juga menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang untuk membendung penyalahgunaan teknologi AI," ujarnya.
Sebelum ini, seramai sembilan wakil rakyat kerajaan dilaporkan menerima e-mel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan AI, selain menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau turut menerima e-mel ugutan yang sama.
Antara yang dilaporkan menerima e-mel tersebut ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; ADUN Kulim, Wong Chia Zen; serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menerima e-mel ugutan berkaitan video lucah palsu yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan
- Beliau menerima e-mel tersebut pada petang Isnin
- Video itu disunting menggunakan teknologi AI deepfake bertujuan mencemarkan reputasi dan memberi tekanan politik
- Jimmy Puah akan membuat laporan polis dan aduan kepada SKMM
- Sembilan wakil rakyat kerajaan juga menerima e-mel ugutan serupa dan menuntut bayaran sebanyak AS$100,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

