Suspek tembak mati Charlie Kirk diburu

WASHINGTON - Pihak berkuasa giat memburu pembunuh aktivis sayap kanan, Charlie Kirk yang juga sekutu rapat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang maut ditembak ketika sedang berucap di Utah Valley University pada Rabu.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan. Kami turut bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Pejabat Peguam Daerah, pejabat syerif dan polis tempatan," ujar Jabatan Keselamatan Awam Utah dalam satu kenyataan.
Difahamkan, pihak berkuasa telah membebaskan dua suspek pertama yang ditahan.
Siasatan awal mendapati tembakan itu dilepaskan dari bumbung dan penyerang mengenakan pakaian berwarna gelap.
Ketika kejadian, pengasas bersama pertubuhan konservatif belia, Turning Point USA itu sedang menjawab tentang isu keganasan senjata api sebelum tembakan mengenai tepat pada lehernya.
Orang ramai yang menghadiri acara itu kemudiannya bertempiaran lari dan keadaan menjadi huru-hara.
Rakaman yang menjadi tular di media sosial turut menunjukkan darah memancut dari tepi lehernya sebelum Kirk, 31, rebah.
Gabenor Utah, Spencer Cox menyifatkan insiden itu sebagai 'pembunuhan politik' manakala Trump mendakwa ia sebagai 'detik hitam' buat Amerika. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

