5 rakyat Israel maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata

BAITULMAQDIS – Lima orang terbunuh manakala beberapa yang lain cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata Palestin melepaskan tembakan di sebuah hentian bas di Baitulmaqdis Timur yang dianeksasi Israel pada Isnin.
Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA), berkata tujuh daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius, manakala dua penyerang turut ditembak mati.
Menurut kenyataan MDA, mangsa yang maut termasuk seorang lelaki berusia sekitar 50 tahun serta tiga lelaki berusia lingkungan 30-an.
Serangan berlaku lewat pagi di Simpang Ramot, Jalan Yigal, dengan kira-kira 15 orang dilaporkan cedera.
“Pembunuhan ini menguatkan tekad kami untuk memerangi keganasan,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika melawat lokasi kejadian.
Tentera Israel memaklumkan pihaknya sedang memburu suspek lain serta mengepung beberapa kawasan di pinggir Ramallah, Tebing Barat yang diduduki Israel.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengecam serangan itu, manakala Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, menyifatkannya sebagai “pengecut”.
Hamas memuji serangan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai tindak balas semula jadi terhadap jenayah pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menyalahkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) atas serangan itu dengan mendakwa ia mendidik generasi muda untuk membunuh orang Yahudi. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
