Dua kakitangan kedutaan Israel maut ditembak di Washington

WASHINGTON – Dua kakitangan Kedutaan Israel maut dalam kejadian tembakan berhampiran Muzium Yahudi Capital, Washington D.C pada malam Rabu (waktu tempatan), menurut kenyataan pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Menurut polis, kejadian berlaku di persimpangan 3rd Street dan F Street, Northwest yang terletak berhampiran pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat.
Ketua Polis Washington, Pamela Smith, memaklumkan seorang suspek yang dilihat berlegar-legar di luar muzium sebelum majlis bermula telah ditahan.
Jurucakap Kedutaan Israel, Tal Naim Cohen, mengesahkan bahawa dua kakitangan kedutaan terbabit ditembak dari jarak dekat ketika menghadiri satu majlis di kawasan berkenaan.
Setakat ini, kedutaan Israel belum mengeluarkan sebarang maklumat lanjut mengenai identiti suspek, mangsa atau motif serangan.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Kristi Noem, turut mengesahkan kematian dua kakitangan kedutaan Israel itu dalam satu kenyataan di platform X.
"Kami sedang menyiasat secara menyeluruh dan akan berkongsi maklumat terkini sebaik diperoleh. Kami akan pastikan pelaku kejam ini diheret ke muka pengadilan," katanya.
Pengarah FBI, Kash Patel, turut memaklumkan bahawa beliau dan pasukannya sedang bekerjasama rapat dengan Polis Metropolitan bagi menyiasat insiden tersebut.
Difahamkan, Peguam Negara AS, Pam Bondi, serta Peguam Persekutuan untuk Daerah Columbia, Jeanine Pirro, turut hadir ke lokasi kejadian.
Polis Metropolitan bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memaklumkan satu sidang media rasmi akan diadakan dalam masa terdekat. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

