Pakai petunjuk geografi salah, pengarah syarikat kopi tidak mengaku bersalah

JOHOR BAHRU - Buat pertama kalinya sejak Akta Petunjuk Geografi 2022 diluluskan, seorang pengarah syarikat dan syarikatnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Orang kena saman (OKS), Lim Sen Thiam, 53, yang turut mewakili syarikat KK Tanom Coffee Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim atas dua pertuduhan memakaikan petunjuk geografi yang salah pada pembungkus petunjuk geografi berdaftar tanpa persetujuan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS sebagai pengarah syarikat KK Tanom Coffee Sdn Bhd didakwa memakaikan dengan salah petunjuk geografi iaitu 'KK Tanom Coffee' pada plastik pembungkus Uncang Kopi-'O' 2 in 1 Kopi-O Kow 240 gram sebanyak 1,368 unit.
Ia secara tidak langsung merujuk kepada petunjuk geografi berdaftar iaitu 'Tenom Coffee' tanpa persetujuan tuan punya berdaftar petunjuk geografi itu.
Syarikat itu turut didakwa melakukan perbuatan yang sama dan perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Lagenda 5, Taman Lagenda Putra, Lagenda Industrial Park, Kulai pada kira-kira jam 12.10 tengah hari, 25 Mac lalu.
OKS sebagai pengarah didakwa mengikut Seksyen 67(1)(b) Akta Petunjuk Geografi 2022 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34(3)(b) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan suatu petunjuk geografi berdaftar yang dipakaikan dengan salah atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syarikat itu pula didakwa mengikut Seksyen 34(3) Akta Petunjuk Geografi 2022 dan boleh dihukum di bawah seksyen 34(3)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan petunjuk geografi berdaftar yang dipakaikan dengan salah itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Hakiim Izani dan Nur Sulehan Abd Rahman menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat KPDN terdekat sebulan sekali.
Peguam YX Ching yang mewakili OKS bagaimanapun memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya itu menanggung seorang isteri, tiga anak dan ibunya yang berusia 79 tahun.
"OKS merupakan pencari nafkah tunggal dan menanggung serta membayar semua kos perubatan ibunya yang menghidap strok menggunakan pendapatan diperolehinya.
"OKS memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan dan tidak pernah melarikan diri. OKS hadir sendiri ke mahkamah hari ini," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan, tanpa syarat tambahan.
Sebutan semula kes pada 8 Oktober depan bagi serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

