'[VIDEO] Dua penganggur tidak mengaku bersalah rogol budak sekolah

A
A
A

SEREMBAN - Dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan berasingan merogol remaja perempuan bawah umur pada Julai dan Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Zulhakimi Zulhilmi, 19, dan S Karthikeyen, 19, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Zulhakimi didakwa telah merogol mangsa remaja perempuan berusia 16 tahun enam bulan lebih kurang jam 3.30 hingga 4 pagi di sebuah rumah di Taman Kemuning di sini pada 30 Ogos lalu.

Karthikeyen pula didakwa merogol mangsa remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di dalam sebuah kereta Proton Satria di taman permainan dekat Taman Molek, Gemas di Tampin lebih kurang jam 8 hingga 9 malam, Julai lalu.

Berikutan itu, kedua-dua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Zulhakimi dibawa polis ketika hadir ke mahkamah
Muhammad Zulhakimi dibawa polis ketika hadir ke mahkamah

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat-syarat tambahan bagi setiap tertuduh.

Beliau berkata, hubungan Muhammad Zulhakimi dengan mangsa adalah kenalan manakala Karthikeyen dan mangsa adalah pasangan kekasih.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Zulhakimi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu, dia sedang mencari pekerjaan dan akan dijamin oleh bapanya yang mempunyai pendapatan tidak menentu.

Karthikeyen yang diwakili peguam S Vinesh pula memohon jaminan paling minimum kerana keluarganya berpendapatan rendah dengan bapanya bekerja sebagai pengumpul besi buruk.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dijamin RM9,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan, menyerahkan pasport dan tidak menganggu saksi sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Oktober depan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!