Skandal Lebuh Raya MEX II: Sembilan lagi individu akan dihadapkan ke mahkamah

PUTRAJAYA – Sembilan lagi individu akan dihadapkan ke mahkamah susulan siasatan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Lebuhraya MEX II hujung September ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua individu ini dipercayai terbabit dengan transaksi dana melibatkan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.
"Kami jangka semua mereka akan dituduh sebelum hujung bulan ini," katanya di Ibu Pejabat SPRM pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Putrajaya pada Isnin atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan ubah wang haram RM139.2 juta, berkaitan projek Lebuhraya MEX II.
Ia membabitkan projek sambungan MEX II yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Abu Sahid juga bakal berdepan tujuh lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam tidak lama lagi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, Abu Sahid akan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109, melibatkan jumlah keseluruhan RM145 juta.
Sementara itu, bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, turut berdepan 18 pertuduhan membabitkan dana ratusan juta ringgit.
Jelas beliau, daripada jumlah itu, sembilan pertuduhan adalah di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan RM209 juta, manakala sembilan lagi di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan RM387 juta.
Menurutnya, pada hari sama, Abu Sahid turut dituduh dengan empat pertuduhan pecah amanah melibatkan RM313 juta serta 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139.2 juta.
Tambahnya, Yap pula berdepan dakwaan menggunakan 17 dokumen tuntutan palsu antara Jun 2017 hingga April 2018.
Kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 November depan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta milik individu berkenaan termasuk beg tangan berjenama, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai.
Dalam operasi itu juga, SPRM menemui sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan pelbagai minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta, dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua barang dan aset berkenaan disita bagi siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta AMLATFPUAA 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

