Halang jalan dengan bahan binaan, pemilik rumah dihadapkan ke mahkamah

BANTING - Tindakan seorang pemilik rumah meletakkan pasir, kayu dan besi sehingga menyebabkan halangan mengundang padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, lelaki berusia lewat 30-an itu selaku orang kena saman (OKS) didakwa meletakkan bahan binaan di hadapan sebuah rumah di Taman Cempaka, di sini, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Dia dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Semasa prosiding, OKS yang diwakili peguam memohon supaya saman terhadapnya ditarik balik kerana telah menjelaskan kompaun di MPKL.
Majistret, Maslinda Selamat, kemudiannya membenarkan permohonan tersebut.
Pendakwaan kes ini dikendalikan Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

