Pengajaran daripada tunjuk perasaan di Indonesia

SEMUANYA bermula dengan sebuah rakaman anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia yang berjoget selepas habis mesyuarat dalam suasana santai sekadar hiburan penutup.
Apabila rakaman itu tersebar dengan kapsyen ‘Joget sebab gaji naik’, ia terus mencetus kemarahan rakyat.
Bagi anggota DPR, joget santai itu mungkin sekadar hiburan tetapi di hati rakyat yang sekian lama memendam perasaan, ia menjadi simbol elit berpesta.
Rasa tidak puas hati yang mendalam mula meledak di jalanan Jakarta apabila ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan parlimen pada Isnin.
Protes semakin memburuk apabila seorang penunggang Ojek berusia 21 tahun, Affan Kurniawan maut dilanggar kenderaan polis pada Khamis, dengan tunjuk perasaan bermula di pelbagai bandar di seluruh negara.
Apa yang kita boleh belajar daripada peristiwa ini. Pertama, rusuhan ini bukan sekadar soal video joget atau elaun rumah. la soal jurang kemiskinan dan kemewahan yang terlalu ketara. Di satu sudut kota, ada rakyat yang beratur panjang untuk membeli beras murah.
Di sudut lain, ada elit politik dan ekonomi yang berlumba pamerkan kereta mewah, jam tangan jutaan, dan rumah bak istana. Kontras inilah yang menyakitkan hati dan membakar kemarahan rakyat.
Kedua, ia mengajar bahawa pemimpin jangan sesekali sombong dengan rakyat. Contohnya, kenyataan sinis dan penuh angkuh seperti yang keluar dari mulut anggota DPR, Ahmad Sahroni yang digelar ‘Crazy Rich Tanjung Priok’ melabelkan rakyat yang melakukan tunjuk perasaan sebagai ‘orang tolol sedunia’ menambah api kebencian.
Ketiga, media sosial menjadi minyak yang menyemarakkan amarah rakyat. Satu video kecil boleh diterjemahkan menjadi kerusuhan nasional. Satu kapsyen palsu boleh membunuh.
Indonesia mengajar kita bahawa fitnah mesti dicantas sejak awal. Ahli DPR menari tiada kaitan langsung dengan isu kenaikan elaun, tetapi influencer menyebarkan naratif kononnya golongan kayangan menari-nari mengejek rakyat miskin.
Akhirnya, demonstrasi tercetus, tempat persidangan dibakar, harta-benda dimusnahkan, dan rumah wakil rakyat dirompak.
Namun pengajaran paling besar ialah selagi pemimpin perlu merasai denyut dan kesusahan rakyat sehingga akhirnya rakyat akan bertindak menjadi hakim negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
