Rusuhan Jakarta: Probowo arah tindakan paling tegas terhadap perusuh

PUTRAJAYA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan pihak polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat menyebabkan kerosakan infrastruktur awam dalam protes besar-besaran yang berlaku di negara itu.
Tegas beliau, kerajaan sentiasa menghormati kebebasan bersuara selaras dengan United Nations International Covenant on Civil and Political Rights Fasal 19 Undang-Undang Nombor 9 tahun 1998.
"Saya perintahkan untuk mengambil tindakan yang paling tegas terhadap segala bentuk kerosakan kemudahan awam, penjarahan terhadap kediaman individu ataupun tempat-tempat awam dan pusat-pusat ekonomi, selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,’’ katanya menerusi sidang akhbar di Istana Negara, pada Ahad.
Menurutnya, penyampaian aspirasi perlu dilakukan secara aman tanpa mencetuskan sebarang provokasi yang boleh membawa kepada pelanggaran undang-undang.
Tunjuk perasaan di beberapa daerah sebelum ini mencetuskan provokasi besar-besaran sehingga menyebabkan beberapa infrastruktur awam musnah.
Pada masa sama berlaku penjarahan rumah beberapa individu termasuk rumah penting di negara itu termasuk anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Ahmad Sahroni di Tanjung Priok, Jakarta Utara, yang dimasuki orang ramai, pada Sabtu.
Turut menjadi mangsa ialah rumah ahli politik Parti Amanat Nasional (PAN), Eko Hendro Purnomo atau lebih dikenali sebagai Eko Patrio, di kawasan Setiabudi, Jakarta Selatan dan rumah anggota DPR, Surya Utama atau lebih dikenali sebagai Uya Kuya.
Kediaman peribadi Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati di Jakarta didakwa turut menjadi sasaran penjarahan oleh individu tidak dikenali, awal pagi Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

