Ribuan aplikasi hanya kelirukan rakyat

PENDIGITALAN perkhidmatan kerajaan yang sepatutnya memudahkan urusan rakyat kini dilihat semakin membebankan apabila terlalu banyak aplikasi diperkenalkan oleh pelbagai agensi tanpa penyelarasan menyeluruh dan hala tuju yang jelas.
Apa yang berlaku hari ini sebenarnya kita bukan kekurangan teknologi, sebaliknya kelemahan tadbir urus digital.
Rakyat terpaksa memuat turun pelbagai aplikasi berbeza untuk urusan yang hampir sama. Daripada semakan saman, lesen kenderaan, perkhidmatan kesihatan, parkir sehinggalah bantuan kerajaan.
Keadaan ini mencetuskan rungutan meluas kerana ia bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan pengalaman pengguna.
Menurut laporan media tempatan, hampir 300 aplikasi kerajaan dibangunkan oleh lebih 100 agensi, menunjukkan wujudnya pertindihan fungsi ketara.
Setiap agensi dilihat berlumba-lumba membangunkan aplikasi sendiri atas nama inovasi, namun gagal melihat keperluan rakyat sebagai pengguna akhir. Akibatnya, pendigitalan yang sepatutnya memudahkan berubah menjadi satu bentuk kerumitan baharu.
Lebih membimbangkan, situasi ini menimbulkan persoalan tentang kecekapan penggunaan dana awam.
Pembangunan aplikasi memerlukan kos tinggi, penyelenggaraan berterusan serta sumber manusia, namun hasil akhirnya tidak mencerminkan sistem yang benar-benar bersepadu.
Tanpa integrasi antara agensi, rakyat tetap terpaksa menguruskan pelbagai akaun, log masuk dan antara muka berbeza.
Walaupun kerajaan telah memperkenalkan MyGOV Malaysia sebagai platform pusat sehenti, langkah itu masih dilihat bersifat separa dan belum menyelesaikan masalah akar.
Selagi setiap agensi kekal dengan pendekatan silo, usaha penyatuan aplikasi akan terus terbantut.
Rakyat tidak menolak pendigitalan, tetapi menuntut pendigitalan yang berfungsi, tersusun dan berpaksikan pengguna.
Kerajaan perlu berani membuat keputusan tegas untuk menyeragamkan perkhidmatan digital di bawah satu ekosistem utama. Jika tidak, pendigitalan hanya akan kekal sebagai slogan, sementara rakyat terus menanggung kerumitannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
