Soal undang-undang, bukan perkauman

Perkataan haram itu tidak menghina agama, sebaliknya istilah perundangan. - Gambar hiasan
Perkataan haram itu tidak menghina agama, sebaliknya istilah perundangan. - Gambar hiasan
A
A
A

PERTELINGKAHAN mengenai pembinaan kuil haram di negara ini terus mengundang perbalahan dan telah lama menjadi perdebatan hangat di media sosial. Ramai termakan dengan perasaan perkauman sehingga lupa tentang fakta.

Apabila seorang Exco Selangor mendesak orang ramai agar jangan menggunakan istilah kuil haram - kononnya bersifat menghukum dan tidak sensitif - ada yang menyifatkan kenyataan itu sebagai cubaan menegakkan benang basah.

Kamus Dewan Edisi Keempat memperuntukkan maksud haram mengikut 6 takrifan dan salah satu konteks takrifan yang relevan ialah "ditegah (terlarang) oleh undang-undang, tidak sah (di sisi undang-undang): dia ditangkap kerana masuk secara ~ ke negeri ini; kumpulan ~ rumah ~ rumah yg didirikan di atas tanah kerajaan atau milik orang lain tanpa kebenaran, rumah kilat; tanah ~ tanah yg diduduki atau dikerjakan tidak dgn izin kerajaan (tuannya).”

Sebab itu bila kuil dipacak di atas tanah bukan miliknya dan tanpa mendapat keizinan pihak berkuasa tempatan, kita istilahkannya sebagai kuil haram. Istilah ini tepat dan betul. Ia tidak menghina sebaliknya deskriptif iaitu menghurai status dan kedudukan kuil itu sebagai tidak sah secara tepat.

Tidak perlu manipulasi perkataan atau istilah semata-mata untuk menghalalkan perbuatan. Perkataan haram itu tidak menghina agama, sebaliknya istilah perundangan.

Sebagaimana diterangkan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa penggunaan istilah tersebut merujuk secara khusus kepada ketidakpatuhan perundangan dalam perwujudan struktur binaan tersebut dan bukannya merujuk kepada anutan agama itu sendiri.

Status haram itu juga merujuk kepada proses pembinaan dan lokasi, bukannya aktiviti beribadat.Sehubungan dengan itu, tidak wajar bagi mana-mana pihak cuba menyekat penggunaan istilah betul itu semata-mata atas alasan sensitiviti kaum yang tidak berasas.

Malaysia bukan hutan tanpa undang-undang. Rumah ibadat mesti dibina dengan izin tidak kiralah agama apa sekalipun.

Perlu ada pengawalseliaan supaya tidak dibina sesuka hati. Hormati undang-undang, barulah keharmonian kaum terjamin.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!