Luka rakyat Indonesia berdarah kembali

AKSI demonstrasi pada 28 Ogos lalu membuka semula luka lama rakyat Indonesia yang tidak pernah sembuh.
Peserta protes turun ke jalan di Jakarta dan bandar-bandar utama dengan harapan suara mereka akan didengari pemerintah, namun tunjuk perasaan itu dicemari tindakan kekerasan melampau pihak berkuasa.
Laungan suara mereka dibalas dengan tembakan gas pemedih mata, dihalang kenderaan berperisai dan pukulan belantan.
Protes yang bermula dengan bantahan golongan buruh menuntut kenaikan gaji di bawah gerakan HOSTUM atau hapus outsourcing dan tolak upah murah itu akhirnya menjadi huru-hara selepas penghantar ojek, Affan Kurniawan terbunuh apabila dirempuh kenderaan Brimob, ratusan cedera dan diberkas.
Siri demonstrasi itu yang akhirnya bertukar ganas menunjukkan pola berulang; reformasi 1998, demo 2019 yang meragut nyawa dua mahasiswa, Randi dan Yusuf Kardawi, bantahan penduduk desa (Wadas 2022) hingga tragedi Stadium Kanjuruhan yang membunuh 135 orang akibat tembakan gas pemedih mata.
Menerusi protes terbaharu ini, imej pihak berkuasa sekali lagi tercalar setelah rakyat kembali menjadi korban ‘tangan besi’ anggota keselamatan yang menggunakan kuasa secara membabi buta.
Sehingga suku ketiga 2025, Indonesia yang berpopulasi lebih 286 juta penduduk dilanda kira-kira 11 protes mega serentak yang berlaku di seluruh negara dan sebahagiannya melibatkan tuntutan sama, namun aspirasi rakyat hanya dipandang sepi oleh pemerintah.
Kemarahan mereka memuncak pada kali ini dan bangunan kerajaan serta ibu pejabat polis menjadi sasaran ‘amukan’ penunjuk perasaan.
Rakyat berasa hidup mereka terhimpit dengan pelbagai tekanan ekonomi seperti harga barang keperluan asas melambung tinggi, subsidi yang tidak disasarkan kepada kumpulan sepatutnya dan bebanan cukai sedangkan elit politik terus menjalani gaya hidup glamor.
Jurang ketidakadilan yang ketara ini akhirnya meledak di jalanan bertepatan pada bulan kemerdekaan yang menandakan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-80.
Pengarah Parameter Politik Indonesia (PPI), Adi Prayitno percaya kesabaran rakyat sudah melampaui had, mereka akhirnya ‘meletup seperti bom jangka’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
