Demonstrasi Indonesia didalangi George Soros?

JAKARTA – Media Rusia mendakwa bahawa aksi demonstrasi ganas yang mencetuskan huru-hara di seluruh Indonesia dibiayai oleh pihak asing.
Laporan Sputnik memetik kenyataan penganalisis geopolitik, Angelo Giuliano yang turut menyebut tentang penggunaan bendera One Piece sebelum siri protes itu memuncak.
"Simbol tersebut jelas menunjukkan adanya pengaruh luar kerana pola serupa juga dilihat di negara lain, walaupun ia menjadi medan untuk rakyat yang hidup susah bersuara. Penggunaan lambang anime Jepun itu bukanlah satu kebetulan," ujarnya.
Difahamkan, bendera Jolly Roger tersebut merupakan simbol perjuangan menentang pemerintah yang zalim.
Giuliano turut menyebut organisasi National Endowment for Democracy (NED) yang membiayai media Indonesia sejak tahun 1990-an serta Open Society Foundations milik dermawan kontroversi, George Soros sebagai antara pihak yang dikaitkan dengan siri tunjuk perasaan tersebut.
Pendapat serupa turut disuarakan oleh pengasas Seek Truth From Facts Foundation, Jeff J Brown.
Menurutnya, apa yang berlaku di Jakarta adalah serupa dengan situasi di Serbia.
"Kumpulan Tujuh (G7) mahukan seorang diktator baharu yang disokong Amerika Syarikat (AS) seperti Suharto. Namun, Prabowo tidak akur dengan agenda Washington dan Eropah, sebaliknya Indonesia memperkukuh kerjasama dengan ‘musuh Barat’ seperti China, Rusia, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan BRICS," ujar penulis The China Trilogy itu.
Tambahnya lagi, Indonesia merupakan negara Asia Tenggara pertama yang bergabung dengan BRICS, selain secara terbuka bekerjasama dengan Beijing melalui Inisiatif Jalur dan Jalan.
"Indonesia dianggap sebagai sasaran mudah untuk ‘diserang’ melalui revolusi kebangkitan rakyat yang sengaja direka," jelas Brown.
Ketika pelbagai teori mula timbul, Ketua Polis Negara (Kapolri), Jeneral Listyo Sigit Prabowo memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap rusuhan ganas tersebut berdasarkan bukti.
Beliau berkata, segala dakwaan yang muncul akan diteliti, termasuk penglibatan jutawan minyak kontroversi, Riza Chalid seperti yang disebut oleh beberapa anggota Kabinet Merah Putih menerusi surat terbuka kepada Prabowo. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

