Pekerja gig bakal ada hak tentukan kadar upah

RUU Pekerja Gig yang akan dibentangkan bacaan kali pertamanya hari ini bakal memperluaskan lagi kategori pekerja industri tersebut, bukan sekadar sektor p-hailing dan e-hailing sahaja sebaliknya antara yang turut termasuk dalam jadual pekerja gig ialah wartawan, pemberita sambilan, juruvideo dan jurugambar. Gambar hiasan Bernama
RUU Pekerja Gig yang akan dibentangkan bacaan kali pertamanya hari ini bakal memperluaskan lagi kategori pekerja industri tersebut, bukan sekadar sektor p-hailing dan e-hailing sahaja sebaliknya antara yang turut termasuk dalam jadual pekerja gig ialah wartawan, pemberita sambilan, juruvideo dan jurugambar. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia selepas ini bakal mempunyai hak untuk turut menentukan secara bersama dengan penyedia platform atau majikan kadar upah dan bayaran apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan kelak.

Menerusi dokumen mengenai RUU Pekerja Gig yang disiarkan menerusi laman web Kementerian Sumber Manusia dan turut diedarkan kepada pihak media, pekerja gig di negara ini menerusi majlis tripartite atau majlis perundingan boleh bersama-sama berbincang mengenai kadar upah dan bayaran dengan pemegang taruh industri.

Dokumen tersebut melaporkan majlis perundingan yang ditubuhkan di bawah RUU berkenaan membolehkan majlis tersebut memberi nasihat dan membuat cadangan kepada kerajaan mengenai pelbagai perkara sebagaimana ditentukan menteri.

“Antaranya termasuklah kadar pendapatan minimum, formula yang digunakan berkaitan kadar pendapatan minimum, standard minimum yang perlu digunakan pakai atau apa-apa perkara berkaitan pekerjaan gig dan tarikh permulaan kuat kuasa perintah.

“Selain itu, majlis juga mempunyai kuasa untuk berunding dengan pemegang taruh, mengumpul serta menganalisis data dan menilai kesan pelaksanaan perintah yang dikeluarkan,” jelas dokumen terbabit di muka surat 33 dan 34.

Dalam pada itu, RUU Pekerja Gig yang bakal dibentangkan bacaan kali pertamanya hari ini juga bakal memperluaskan lagi kategori pekerja industri tersebut bukan sekadar sektor p-hailing dan e-hailing sahaja.

“Turut termasuk dalam jadual pekerja gig ialah lakonan, petugas pengeluaran filem, penyanyi, pemuzik, penggubah, penulis lirik, jurusolek, pendandan rambut, jurugaya, jurubahasa isyarat, wartawan, pemberita sambilan, juruvideo, jurugambar dan penjaga untuk orang tua atau ibu bersalin,” kata dokumen itu.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Pun begitu, RUU tersebut hanya mengiktiraf pekerja gig dengan beberapa syarat iaitu merupakan seorang warga negara atau pemastautin tetap, membuat perjanjian perkhidmatan dengan entiti kontrak bagi pelaksanaan dan menerima pendapatan untuk perkhidmatan.

Menurut dokumen itu lagi, RUU Pekerja Gig 2025 diwujudkan bagi melindungi hak pekerja gig, mengawal selia terma dan syarat perjanjian, menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan majlis perundingan, tribunal pekerja gig.

Ia juga bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja gig serta melindungi keselamatan sosial industri yang semakin membesar sejak sedekad lalu.

Isu berkenaan kadar upah dan bayaran pekerja gig terutamanya penghantaran makanan dalam talian telah berlarutan sejak tahun 2019, malah turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar pada Mei lalu turut mengulangi jaminan beliau pelbagai isu dan kebajikan pekerja gig akan ditangani menerusi penggubalan RUU Pekerja Gig 2025.

Selepas lebih setahun dengan hampir 40 sesi libat urus dengan pelbagai pihak RUU Pekerja Gig 2025 akan dibentang Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hari ini di Parlimen.

Namun, RUU ini mendapat respons bercampur-campur terutamanya daripada penyedia platform yang melihat RUU tersebut dibuat secara tergesa-gesa.

Setakat ini difahamkan hanya 15 negara dan negeri di dunia yang mempunyai akta hampir serupa bagi melindungi pekerja gig.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!