Pengkhianatan besar buat pekerja gig jika RUU dilengahkan - TPAD

Nathan Mathivanan
Nathan Mathivanan
A
A
A

SHAH ALAM – Sebarang usaha untuk melengah-lengahkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di negara ini merupakan pengkhianatan terbesar terhadap 1.2 juta pekerja gig.

Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), Nathan Mathivanan berkata, cukuplah dengan penangguhan sebelum ini dan kini tiba masanya Parlimen meluluskan RUU Pekerja Gig 2025 tanpa kompromi.

Menurutnya, RUU Pekerja Gig 2025 bukan sekadar undang-undang biasa, sebaliknya ia adalah perisai melawan eksploitasi moden yang membelenggu lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia.

“Setiap hari pemandu dan rider terus bekerja tanpa perlindungan jelas, sementara ada pihak sentiasa memberi alasan mahu lebih ‘data driven’ sebelum sebarang langkah yang hanya melengahkan perlindungan kepada pekerja gig setiap hari.

“Bukan setakat perlindungan, malah harga tambang juga tidak dibayar setimpal dengan kenaikan kos operasi yang semakin mencabar kehidupan minimum di bandar.

“Sampai bila lagi kita perlu menunggu segelintir platform dan ahli politik yang mahu segalanya sempurna, tanpa memikirkan risiko dan bahaya kami di jalanan?” jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Nathan memberitahu pihaknya akan mengadakan himpunan bertemakan ‘Kembalikan, Martabatkan Pemandu dan Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025’ di Parlimen pada Rabu ini.

Jelas beliau, himpunan itu bukanlah boikot, rusuhan atau tindakan ‘offline’, sebaliknya tanda solidariti semua pemandu di seluruh Malaysia.

Katanya, terdapat lima perkara utama yang diperjuangkan, antaranya harga lantai yang adil bagi e-hailing dan p-hailing, serta pelaksanaan segera 21 tuntutan TPAD hasil lima siri perbincangan rasmi bersama kementerian.

Artikel Berkaitan:

“Perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah ‘manual accept’ tanpa syarat, demi meringankan beban pemandu serta-merta untuk memberikan hak memilih tugasan yang setimpal sahaja tanpa sebarang denda.

“Selain itu, mengkaji semula GSF auto opt-in sepenuhnya dengan TPAD sebelum sebarang kelulusan.

“Perkara terakhir pula mengenai kelulusan segera RUU Pekerja Gig 2025, yang sudah melalui 40 sesi libat urus dan lebih 500 maklum balas atas talian,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!