Kedudukan Malaysia melonjak tangga ke-54 CPI dunia, bukti usaha perangi rasuah - Anwar

SHAH ALAM – Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 melonjak di tangga ke-54 mencerminkan usaha kerajaan Madani memerangi rasuah yang sistemik dan membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan tersebut antara lain didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurutnya, kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam turut menyumbang kepada pencapaian berkenaan.
"Kerajaan Madani juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan.
"Tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang," katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kedudukan Malaysia dalam CPI 2025 menunjukkan peningkatan apabila berada di tangga ke-54 berbanding ke-57 pada tahun sebelumnya.
Berdasarkan CPI 2025 yang diumumkan Transparency International Malaysia (TI-M) pada Selasa yang mana Malaysia juga mencatatkan skor 52 mata, meningkat daripada 50 mata bagi 2024 dan 2023.
Anwar menegaskan, pencapaian berkenaan juga adalah peringatan untuk negara menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani.
Tambah beliau, langkah terbabit demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.
Ringkasan AI
- Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 meningkat ke tangga ke-54
- Peningkatan kedudukan itu didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas oleh SPRM, PDRM, LHDN dan JKDM
- Kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah
- Kerajaan Madani tidak berkompromi dalam isu integriti institusi strategik dan tindakan tegas terhadap salah laku
- Skor Malaysia dalam CPI meningkat kepada 52 mata daripada 50 mata dalam tempoh dua tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

