RUU Pekerja Gig iktiraf profesion jurubahasa isyarat, penterjemah

Jurubahasa isyarat merupakan golongan profesional terlatih dan beretika tinggi dalam merapatkan jurang komunikasi antara individu pekak dan pendengaran. Foto hiasan
Jurubahasa isyarat merupakan golongan profesional terlatih dan beretika tinggi dalam merapatkan jurang komunikasi antara individu pekak dan pendengaran. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan mengiktiraf jurubahasa isyarat, penterjemah dan penulis transkripsi sebagai pekerja gig bukan platform dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig menandakan anjakan paradigma dalam menghargai sumbangan mereka sebagai profesional penting kepada pembangunan negara.

Pertubuhan Kebangsaan Jurubahasa dan Penterjemah Bahasa Isyarat Malaysia (JUPEBIM) dalam kenyataan pada Ahad berkata, selama ini terdapat tanggapan bahawa tugas jurubahasa isyarat adalah berbentuk kebajikan dan bukannya satu perkhidmatan profesional.

Menurutnya, tanggapan itu mesti diubah kerana jurubahasa isyarat merupakan golongan profesional terlatih dan beretika tinggi dalam merapatkan jurang komunikasi antara individu pekak dan pendengaran.

“Justeru, JUPEBIM yang mewakili lebih 100 ahli termasuk jurubahasa pendengaran dan pekak menyambut baik langkah kerajaan yang amat tepat pada masanya untuk mengiktiraf profesion ini dalam RUU Pekerja Gig yang akan dibentangkan di Parlimen.

“Pengiktirafan itu bukan sahaja sudah lama dinanti-nantikan, malah merupakan pengesahan penting terhadap status profesional serta peranan utama Jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam kalangan masyarakat,” katanya.

JUPEBIM menjelaskan, jurubahasa isyarat memainkan peranan penting dalam memastikan akses komunikasi kepada komuniti pekak, selain memudahkan komunikasi inklusif dalam masyarakat.

Persatuan itu berpandangan, RUU berkenaan perlu menggariskan perkara penting termasuk melindungi hak pekerja gig, menjelaskan tanggungjawab entiti pengupah serta menetapkan terma dan syarat perkhidmatan.

“RUU terbabit juga perlu meliputi mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan Majlis Perundingan Tribunal Pekerja Gig, serta menjamin keselamatan, kesihatan dan perlindungan keselamatan sosial pekerja gig,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, JUPEBIM menegaskan komitmen untuk terus menyediakan perkhidmatan jurubahasa berkualiti tinggi berlandaskan integriti, profesionalisme dan kerahsiaan.

Artikel Berkaitan:

“Kami menyeru agar syarikat, agensi kerajaan dan masyarakat umum mengamalkan pendekatan inklusif dengan melibatkan jurubahasa BIM bertauliah dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, media dan perkhidmatan awam,” jelasnya.

Tambahnya, pengiktirafan melalui undang-undang ini bukan sekadar soal klasifikasi pekerjaan, sebaliknya menyentuh aspek maruah, aksesibiliti dan kesaksamaan yang mampu membawa Malaysia selangkah lebih dekat ke arah masyarakat inklusif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!