Berang sering dihina, suami 'sembelih' isteri mengandung tiga bulan

Aulia Zakrike (kiri) yang hamil tiga bulan ditemukan tidak bernyawa, dipercayai disembelih suaminya sendiri. Foto Agensi
Aulia Zakrike (kiri) yang hamil tiga bulan ditemukan tidak bernyawa, dipercayai disembelih suaminya sendiri. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Seorang wanita di Desa Air Kopras, Kecamatan Pinang Belapis, Kabupaten Lebong ditemukan meninggal dunia dengan luka parah pada leher akibat diserang suaminya sendiri, Oga Yunanda, 23, pada Khamis lalu.

Media tempatan melaporkan bahawa Aulia Zakrike, 18, ketika itu sedang hamil tiga bulan.

Ayah mangsa, Zamzami, 50, menjadi saksi pertama yang menemui mayat anak perempuannya sebaik pulang dari pasar.

“Saya terkejut melihat anak saya terbaring tidak bernyawa. Keadaan biliknya berselerak dan ada sebilah pisau dekat mayatnya,” kata Zamzami.

Menurut Asisten Superintendan Polis (ASP) Darmawel Saleh, motif pembunuhan berpunca daripada dendam dan sakit hati yang telah lama dipendam suspek.

"Oga dikatakan sering berasa dihina dalam rumah tangga mereka dan menghadapi tekanan akibat konflik berpanjangan, termasuk isu kewangan.

“Suspek juga berasa tertekan dan sakit hati kerana sering dipermainkan serta tidak dihargai sehingga dendam itu memuncak,” jelas Darmawel.

Difahamkan, Oga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan keluarganya pernah menasihatkan agar dia kembali ke rumah ibu bapa di Desa Lemeu, Kecamatan Uram Jaya untuk menenangkan keadaan.

Bagaimanapun, konflik dan pertengkaran dalam rumah tangga mereka berterusan sehingga berakhir dengan tragedi.

Artikel Berkaitan:

Pada hari kejadian, Aulia berada sendirian di rumah manakala ibu mangsa yang bekerja sebagai guru sedang mengajar dan bapanya berada di pasar.

Dalam pada itu, menurut saksi, tiada jiran yang mendengar sebarang bunyi pergaduhan sebelum mayat ditemukan.

Hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan Aulia mengalami luka mendalam di leher sehingga kepalanya hampir putus, disertai kesan cengkaman kuku di sekeliling luka.

Mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira enam jam sebelum ditemukan.

Kematian Aulia turut menarik perhatian warganet apabila sebuah hantaran di Facebook milik mangsa dipercayai sebagai catatan terakhirnya menjadi tular.

Dalam hantaran itu, mangsa menulis: “Seribu yang datang tidak akan sama seperti satu yang hilang.”

Pihak polis kini meneruskan siasatan, termasuk mengambil keterangan saksi dan mengumpul bukti sebelum tindakan undang-undang dijalankan terhadap suspek. - Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang wanita hamil tiga bulan di Desa Air Kopras, Indonesia ditemukan meninggal dengan luka parah di leher
  • Diserang oleh suaminya sendiri, Oga Yunanda akibat dendam dan sakit hati yang dipendam
  • Ayah mangsa menemukan mayatnya sebaik pulang dari pasar
  • Motif pembunuhan diakibatkan masalah rumah tangga termasuk tekanan konflik berpanjangan dan isu kewangan
  • Polis kini meneruskan siasatan dan mengumpul bukti sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap suspek

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!