Kerajaan digesa bertindak tegas, berterusan tangani isu rumah ibadat - Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Kerajaan perlu bertindak tegas dan berterusan dalam menangani isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran sah, termasuk melibatkan bangunan atas tanah pemilikan persendirian.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia kerana penyelesaian berasaskan undang-undang dan mengutamakan ketenteraman awam amat penting bagi memelihara keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.
“Tiada pihak seharusnya diberi ruang untuk mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sedia ada.
“Ketegasan penguatkuasaan bukan bertujuan menimbulkan ketegangan, sebaliknya untuk memastikan peraturan dipatuhi secara menyeluruh dan saksama,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.
Ujar Tuan Ibrahim, sebahagian besar polemik pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran sah yang timbul ketika ini didapati berlaku di atas tanah bertuan, dan keadaan tersebut dapat dielakkan sekiranya pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten sejak awal.
Menurut beliau, semua pembinaan bangunan hakikatnya memerlukan kelulusan pihak berkuasa, malah pengubahsuaian atau pembesaran rumah persendirian juga tertakluk kepada proses kelulusan.
“Prinsip yang sama mestilah dikuatkuasakan dalam hal ehwal rumah ibadat agar undang-undang dihormati dan keadilan terpelihara.
“Isu pembinaan bangunan keagamaan tanpa kebenaran sah kini perlu dipandang serius kerana ia boleh mengganggu kepentingan awam, menjejaskan keharmonian antara kaum, dan berpotensi mencetuskan ketegangan sekiranya tidak diurus dengan teliti.
“Isu tersebut perlu dipandang serius kerana ia boleh mengganggu kepentingan awam, menjejaskan keharmonian antara kaum dan berpotensi mencetuskan ketegangan sekiranya tidak diurus dengan teliti,” ujarnya.
Kata Tuan Ibrahim, banyak negara mengurus isu sensitif berkaitan rumah ibadat melalui gabungan dua pendekatan utama iaitu rundingan dan rangka perundangan yang jelas.
Ujarnya, rundingan berperanan meredakan ketegangan dan mencari jalan penyelesaian yang munasabah, manakala undang-undang yang tegas dan tersusun pula memastikan setiap pihak memahami had, prosedur serta tanggungjawab masing-masing.
“Dalam isu yang melibatkan kepentingan awam, kepastian undang-undang ialah asas kepada keadilan dan ketenteraman.
“Sebenarnya, isu arahan berpindah atau perobohan rumah ibadat bukan perkara baharu. Ia telah berlaku dari semasa ke semasa atas pelbagai sebab, termasuk faktor keselamatan, perancangan bandar, status tanah dan pematuhan peraturan pihak berkuasa tempatan.
“Dalam banyak keadaan, perkara ini dapat diselesaikan secara harmoni melalui perundingan dan persetujuan bersama bagi mencari penyelesaian yang paling wajar,” kata beliau.
Ringkasan AI
- Kerajaan perlu bertindak tegas dalam menangani isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran sah termasuk di atas tanah persendirian
- Penyelesaian berasaskan undang-undang dan ketenteraman awam penting untuk memelihara keharmonian masyarakat majmuk
- Perdana Menteri memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk bertindak ke atas rumah ibadat yang dibina secara tidak sah
- Prinsip kelulusan pihak berkuasa perlu dikuatkuasakan untuk semua pembinaan termasuk rumah ibadat agar undang-undang dihormati
- Isu pembinaan tanpa kebenaran boleh mengganggu kepentingan awam, menjejaskan keharmonian antara kaum dan mencetuskan ketegangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

