RUU Pekerja Gig perlu diteliti, elak pertindihan kuasa selia - MTUC

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan merujuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan amalan antarabangsa serta tidak ketinggalan dalam industri tersebut.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, isu melibatkan industri gig di negara ini adalah unik kerana memerlukan penglibatan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.
“Maka dengan itu, amat penting RUU ini dirangka dengan teliti agar tidak berlaku pertindihan bidang kuasa pihak kawal selia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Menurut Kamarul Baharin, RUU tersebut merupakan akta baharu yang akan mengawal persekitaran pekerja gig di negara ini.
Katanya, pengalaman dan pengetahuan pemimpin MTUC dalam merangka RUU berkaitan pekerjaan adalah bentuk libat urus yang penting dalam penyediaan RUU Pekerja Gig.
“Kewujudan draf RUU Pekerja Gig kali ini agak pelik berbanding RUU sebelum ini. Kebiasaannya, pihak kementerian akan menjemput dan mendapatkan input daripada MTUC apabila draf RUU dibuat.
“Perbincangan teliti akan dilakukan oleh MTUC bagi menyediakan draf RUU sebelum dibentangkan di Parlimen,” ujarnya.
Beliau berkata, MTUC melalui mesyuarat Majlis Am telah memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji draf RUU tersebut dengan melibatkan persatuan, ahli akademik, aktivis dan pihak berkepentingan dalam ekonomi gig.
Mengulas lanjut, beliau berkata permintaan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) supaya Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) ditubuhkan untuk menjaga ekosistem industri berkenaan juga bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Cadangan mereka berasaskan kegusaran sama ada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mempunyai kemampuan pegawai untuk menguatkuasakan undang-undang ini.
“MTUC telah menghantar jemputan kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk membentangkan cadangan RUU Pekerja Gig pada 1 Disember 2024 bersama MTUC, Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pekerja gig.
“Tanpa keterlibatan MTUC sebagai pusat buruh kebangsaan yang cakna terhadap kepentingan pekerja, RUU ini sewajarnya diperhalusi secara serius,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

