UNI-MLC desak kerajaan teruskan RUU Pekerja GIG 2025 tanpa tunduk tekanan

Mohamed Shafie
Mohamed Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mendesak kerajaan supaya tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja GIG 2025 selepas dibentangkan di Parlimen.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersama pelbagai pemegang taruh telah mengadakan beberapa siri perbincangan mengenai RUU berkenaan.

“UNI-MLC menyokong penuh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim untuk membentangkan RUU Pekerja GIG 2025 di Parlimen.

“RUU ini meliputi perlindungan hak pekerja, kewajipan entiti kontrak, kawal selia terma dan syarat perjanjian perkhidmatan, mekanisme penyelesaian pertikaian, penubuhan majlis perundingan, tribunal pekerja gig, keselamatan dan kesihatan pekerja selain perlindungan keselamatan sosial,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, hak pekerja gig tidak boleh dinafikan kerana mereka juga banyak berkorban untuk negara dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, justeru kebajikan mereka perlu dibela.

“RUU yang dicadangkan ini adalah satu daripada platform terbaik bagi memastikan hal ehwal kebajikan pekerja gig tidak dinafikan,” katanya.

Pada Khamis lalu, Kesuma dilaporkan menyatakan draf RUU Pekerja GIG telah sedia untuk dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

RUU itu lahir daripada aspirasi pelbagai pemegang taruh khususnya pekerja gig yang telah lama menanti mekanisme formal bagi pembelaan hak mereka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!