RM5 juta setahun bantu anak yatim, hilang keluarga akibat Covid-19

JOHOR BAHRU - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntukkan kira-kira RM5 juta setahun bagi membantu kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim serta yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 sejak penubuhannya pada 2022.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu digunakan untuk bantuan bulanan, bantuan pendidikan, sumbangan persekolahan serta bantuan khas sempena perayaan bagi memastikan kebajikan anak-anak terkesan terus terbela tanpa mengira kaum dan agama.
Menurut beliau, YKM menanggung bantuan kewangan anak-anak penerima sehingga berusia 18 tahun, malah diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tinggi di institusi awam dan swasta sehingga tamat pengajian ijazah pertama.
“Selain bantuan bulanan, YKM turut menyalurkan bantuan one-off sempena perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas, Kaamatan dan Gawai sebagai sokongan tambahan kepada keluarga penerima.
"Hampir 1,000 anak-anak di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif YKM setakat ini, dengan jumlah penerima dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya pada program ziarah kasih YKM di Jalan Merak Larkin Jaya pada Selasa.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.
Sebelum itu, Ismail Sabri melawat guru piano Loke Kim Yen, 51 yang menjaga dua anaknya selepas suaminya meninggal dunia akibat Covid-19, lima tahun lalu.
Anak sulungnya Soh Zhe Hon, 18, yang mengalami masalah pembelajaran kini belajar di Pusat Pendidikan Khas Integrasi SMK Tasek Utara 2 dan Soh Zhe Qi, 16, pelajar di SM Foon Yew.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa YKM akan memperkenalkan kelas tuisyen percuma secara dalam talian tahun ini melibatkan 54 anak-anak YKM yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, selain penganjuran program kem motivasi.
“Kelas tuisyen ini akan dimulakan seawal minggu depan dan dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan penyertaan.
"Kita juga merancang untuk menghimpunkan anak-anak ini dalam satu program bagi membina motivasi serta semangat bekerjasama,” katanya.
Ringkasan AI
- Yayasan Keluarga Malaysia memperuntukkan kira-kira RM5 juta setahun untuk membantu anak-anak yatim akibat Covid-19
- Peruntukan tersebut digunakan untuk bantuan bulanan, pendidikan, sumbangan persekolahan dan bantuan khas sempena perayaan
- YKM menanggung bantuan kewangan sehingga anak-anak penerima berusia 18 tahun dan diteruskan sehingga tamat pengajian ijazah pertama
- Hampir 1,000 anak telah menerima manfaat daripada inisiatif YKM
- YKM akan memperkenalkan kelas tuisyen percuma dalam talian bagi anak-anak YKM yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

