RUU Pekerja Gig berisiko berat sebelah, abaikan sektor lain

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Fokus Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan dilihat terlalu sempit kerana hanya menjurus kepada sektor e-hailing dan p-hailing.
Penyelidik Dasar Ekonomi Gig, Dr Muhammad Afiq Redzuan berkata, kecenderungan itu menimbulkan kebimbangan kerana ekosistem gig di Malaysia sebenarnya jauh lebih luas dan melibatkan pelbagai sektor lain.
Menurutnya, wacana awam juga banyak digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam sektor e-hailing dan p-hailing sehingga suara subsektor lain hampir tidak kedengaran.
“Situasi ini mewujudkan ‘bias sektoral’ kerana kerangka undang-undang sedang dibentuk hanya berdasarkan pengalaman dua subsektor paling lantang, sedangkan ekonomi gig lebih kompleks dan berbilang sektor.
"Justeru, pendekatan yang lebih inklusif diperlukan. Malaysia perlu menubuhkan sebuah Makmal Dasar Ekonomi Gig Nasional yang melibatkan kerajaan, platform antarabangsa dan tempatan, persatuan pekerja gig pelbagai sektor, pertubuhan pengguna serta ahli akademik.
"Melalui dialog berstruktur, semua pihak boleh bersama-sama membangunkan model yang melindungi pekerja tanpa membunuh fleksibiliti dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Muhammad Afiq, penyelesaian kreatif juga perlu dipertimbangkan, antaranya dengan menubuhkan Dana Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP Fund) untuk ekonomi gig.
Jelasnya, platform antarabangsa boleh menyumbang secara berkadar, sama seperti penyedia telekomunikasi yang menyokong dana kesalinghubungan negara.
“Dana ini boleh membiayai manfaat mudah alih seperti perlindungan sosial, insurans atau pencen mikro yang pekerja gig boleh bawa ke mana-mana platform.
"Dengan cara ini, Malaysia tidak perlu bergantung sepenuhnya pada lokasi operasi platform, malah memastikan kebajikan pekerja lebih terjamin,” jelasnya.
Sebagai penyelidik yang pernah meneliti model pekerjaan fleksibel di rantau ASEAN, Eropah dan Amerika Syarikat, beliau berpendapat Malaysia masih berpeluang menjadi perintis.
“Kita mesti belajar daripada kesilapan negara lain. Regulasi ekonomi gig bukan soal tergesa-gesa mengejar tarikh tetapi soal merangka dasar dengan pandangan jauh, merangkumi semua sektor serta memastikan keseimbangan antara perlindungan dan kelestarian.
"Malaysia kini berada di titik penentu. Rang Undang-Undang Pekerja Gig boleh menjadi pemangkin kepada kesejahteraan berjuta-juta rakyat atau sebaliknya menjadi kesilapan dasar yang melemahkan seluruh industri. Kita tidak boleh mengambil risiko itu,” katanya.
Dalam pada itu, melalui perkongsian pihak Kementerian Sumber Manusia, RUU Pekerja Gig yang bakal dibentang bukan sekadar mencakupi pekerja p-hailing dan e-hailing sahaja.
Antara pekerja gig yang bakal dimasukkan di bawah RUU tersebut termasuklah dalam bidang lakonan, aktiviti perfileman, aktiviti yang berkaitan muzik, estetik, terjemahan, fotografi dan videografi, kewartawanan, penjagaan atau rawatan sebelum dan selepas ibu bersalin serta penjagaan paliatif, orang tua dan pemulihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

