Aktivis gesa semua pihak sokong RUU Akta Pekerja Gig 2025

Jose Rizal
Jose Rizal
A
A
A

KUALA LUMPUR – Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) merayu semua pihak termasuk ahli politik, aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemegang taruh dan rakyat Malaysia supaya bersama-sama menyokong kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pekerja Gig 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, undang-undang itu penting bagi melindungi pekerja gig daripada eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab serta memastikan lebih 2 juta rakyat dalam sektor berkenaan dijamin pendapatan, keselamatan sosial dan masa depan mereka.

Menurutnya, kelulusan RUU itu juga dapat mengelakkan beban kewangan negara pada masa hadapan untuk menanggung kos rawatan, bantuan dan kebajikan keluarga pekerja gig yang tidak dilindungi, selain memberi kejelasan status undang-undang kepada golongan berkenaan.

“RUU ini akan memastikan syarikat platform mematuhi tanggungjawab sosial selaras dengan budaya, undang-undang dan aspirasi negara. Ia juga akan mengangkat maruah pekerjaan gig sebagai sebahagian sektor ekonomi rasmi yang diiktiraf dan diberi hak sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jose turut menegaskan bahawa kerakusan kapitalis ekstrem perlu dihapuskan melalui undang-undang yang tegas, adil dan berpaksikan budaya bangsa.

Terdahulu, RUU Pekerja Gig 2025 telah dua kali ditangguhkan pembentangannya iaitu pada Disember 2024 dan Mac 2025 susulan gesaan beberapa syarikat dalam sektor ekonomi gig agar kerajaan memperhalusi kandungannya supaya lebih jelas, praktikal dan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Antara intipati utama RUU ini ialah pengenalan definisi rasmi pekerja gig; penetapan pampasan minimum; mekanisme aduan yang jelas; dan perlindungan keselamatan sosial termasuk sumbangan mandatori kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!