10 kluster baharu tibi dikesan sehingga 7 Februari

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 kluster baharu kes jangkitan tuberkulosis atau tibi dikesan masih aktif di negara ini sehingga 7 Februari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, Selangor mendahului dengan merekodkan empat kluster melibatkan 10 kes.
“Satu kes yang menjadi ‘wake-up call’ dan menyentap kesedaran terhadap kemunculan semula penyakit berjangkit berlaku pada 25 Januari lalu, dengan kes indeks melibatkan seorang wanita warga emas berusia 72 tahun, yang akhirnya sehingga 7 Februari mencatatkan 37 kes membabitkan 29 kanak-kanak dan lapan dewasa.
“Daripada 37 kes itu, 36 kes dikesan melalui tindakan pengesanan kes aktif (ACD), iaitu pegawai kesihatan turun padang bagi menjalankan pengesanan kontak dan sebagainya.
“Sejumlah 903 kontak rapat telah dikenal pasti, menjalani saringan tibi dan semua kes dimulakan rawatan serta dipantau secara harian di fasiliti kesihatan terdekat,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta penjelasan mengenai status terkini kluster tibi mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau.
Dalam pada itu, Dzulkefly menjelaskan langkah kawalan bagi mengekang penyebaran tibi adalah dengan memastikan individu yang disahkan menghidap penyakit itu diberikan rawatan awal anti-tibi.
“Bagi kontak rapat yang tidak menghidap tibi, mereka akan disaring bagi mengesan jangkitan tibi dan dimulakan rawatan pencegahan.
“Pemantauan rawatan melalui terapi pemantauan langsung secara harian dilaksanakan di fasiliti kesihatan terdekat.
“Individu bergejala dinasihatkan mengamalkan etika batuk, iaitu dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Sebanyak 10 kluster baharu kes jangkitan tuberkulosis dikesan aktif di Malaysia sehingga 7 Februari
- Selangor mendahului dengan empat kluster melibatkan 10 kes
- Satu kes indeks pada 25 Januari melibatkan wanita warga emas berusia 72 tahun dengan 37 kes terkait
- Sejumlah 903 kontak rapat telah dikenal pasti dan menjalani saringan serta rawatan tibi
- Langkah kawalan termasuk rawatan awal untuk yang disahkan menghidap tibi dan saringan serta rawatan pencegahan untuk kontak rapat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

