Anwar gesa kerajaan negeri patuhi keputusan isu rumah ibadat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor malam ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor malam ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat secara tidak sah bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, walaupun prinsip tolak ansur mempunyai nilai dan kebaikan tersendiri, ia tidak boleh diteruskan tanpa batas sehingga menjejaskan kedaulatan undang-undang serta kekuatan institusi negara.

"Negara ini tidak akan matang dan selamat sekiranya kita terus mengamalkan tolak ansur yang tidak berkesudahan kerana tolak ansur ada kekuatannya, tetapi bukan sehingga merobek seni dan kekuatan negara itu sendiri.

"Sebab itu, dalam soal rumah ibadat, kuil dan sebagainya, saya menetapkan garis panduan di bawah Kerajaan Persekutuan dan saya juga menghubungi semua kerajaan negeri, termasuk negeri pembangkang, supaya kita ketepikan perbezaan politik kerana pimpinan Kerajaan Madani telah membuat keputusan dasar yang jelas, maka marilah kita bersama melaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA 2026) di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim; Pengerusi DASA merangkap Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) Zainal Mohd Jais; tiga Sasterawan Negara iaitu Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh, Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan Datuk Dr. Zurinah Hassan serta Tokoh Sejarawan Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria.

Menjelas lanjut, Anwar berkata, keputusan berhubung isu rumah ibadat bukan dibuat secara tergesa-gesa atau bersandarkan kepentingan sempit mana-mana pihak, sebaliknya kerajaan mengambil masa lebih dua tahun untuk meneliti dan mendengar pandangan semua pihak sebelum memuktamadkan perkara itu.

Katanya, tempoh itu perlu bagi memastikan setiap keputusan adil, berlandaskan Perlembagaan dan tidak mencetuskan ketegangan antara kaum serta agama di negara ini.

"Dalam soal rumah ibadat, kita tetapkan sampai ke (satu) masa (tahap), kalau betul kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada hukum dan undang-undang, mengapa diberikan pengecualian?

Artikel Berkaitan:

"Saya mengambil masa lebih dua tahun untuk memuktamadkan keputusan ini. Alhamdulillah, akhirnya ada ketetapan bahawa semua kaum dan agama mesti tunduk dan menerima kenyataan bahawa Malaysia ialah negara hukum,” katanya.

Terdahulu, ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Putrajaya pagi tadi, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan.

Beliau turut memuji Amirudin kerana berjaya menyelesaikan isu penternakan babi yang telah lama berlarutan di negeri itu.

Katanya, isu tersebut dirumus dan ditangani dengan baik oleh Kerajaan Negeri Selangor walaupun berdepan helah politik. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri patuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan tentang pembinaan rumah ibadat yang tidak sah
  • Prinsip toleransi harus ada batas untuk menjaga kedaulatan undang-undang dan kekuatan institusi
  • Anwar Ibrahim menegaskan keperluan mengenepikan perbezaan politik untuk melaksanakan garis panduan rumah ibadat yang telah ditetapkan
  • Keputusan berhubung isu rumah ibadat dicapai selepas lebih dua tahun kajian dan dialog dengan semua pihak berkepentingan
  • Semua rumah ibadat perlu mematuhi peraturan tanpa pengecualian demi menjaga ketenteraman dan perpaduan antara kaum serta agama di Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!