Gesa pembentangan RUU Pekerja Gig selari dengan penubuhan SEGiM

SHAH ALAM – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia menggesa kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig serentak dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi memastikan pelaksanaan undang-undang itu lebih berkesan.
Timbalan Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan menubuhkan SEGiM yang disifatkan sebagai komponen penting dalam memantau, membangun dan membentuk dasar ekonomi gig secara sistematik serta bersepadu.
Menurutnya, pembentangan RUU Pekerja Gig yang dijadualkan pada 14 Ogos ini sepatutnya dilakukan seiring dengan penubuhan SEGiM memandangkan suruhanjaya itu akan menjadi badan kawal selia utama ekosistem pekerja gig di negara ini.
“Kenapa penubuhan badan pengawal selia ditangguh, manakala undang-undang untuk pekerja yang akan dikawalnya dibentangkan terlebih dahulu? Ini seperti meletakkan gerabak di hadapan lokomotif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya juga kesal kerana dalam sesi Sembang Santai Teh Tarik Industri Gig anjuran Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), baru-baru ini, tiada wakil daripada kementerian atau agensi teknikal lain yang sepatutnya terlibat secara langsung dalam sektor gig.
Dalam sesi ‘teh tarik santai’ bersama pemain industri di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, bacaan kali pertama RUU berkenaan dijangka 14 Ogos ini manakala bacaan kali kedua pula akan dibentangkan pada 26 Ogos.
Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, kementerian seperti Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang mengawal selia sektor e-hailing dan p-hailing wajar berada dalam perbincangan tersebut.
“Begitu juga dengan Kementerian Digital dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berkait rapat dengan platform pekerja gig dalam talian seperti pereka grafik, penulis bebas dan pembangun aplikasi,” ujarnya.
Abdul Hakim berkata, ketidakhadiran agensi-agensi berkenaan menimbulkan persoalan sama ada penyelarasan antara kementerian sudah dilakukan atau RUU tersebut akan dibentangkan secara tergesa-gesa tanpa ekosistem pelaksana yang jelas.
Jelasnya, ketiadaan SEGiM jika RUU itu diluluskan akan melemahkan pelaksanaannya kerana tiada struktur pentadbiran khusus untuk menetapkan piawaian, mekanisme pematuhan, penyelesaian pertikaian, proses pelesenan, pendaftaran serta saluran maklum balas berkesan.
“Tanpa badan ini, pelaksanaan di peringkat platform akan bercelaru, tafsiran undang-undang tidak sekata dan perlindungan kepada pekerja gig mungkin terjejas,” katanya.
Beliau turut menegaskan sehingga kini tiada penjelasan konkrit sama ada penubuhan SEGiM dimasukkan secara rasmi dalam teks RUU, malah pihaknya selaku pemegang taruh belum menerima draf atau gambaran terperinci mengenai kandungannya.
“Kami mahu kerajaan menyatakan dengan jelas sama ada SEGiM akan menjadi sebahagian daripada struktur pelaksanaan RUU tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Hakim berkata, pihaknya menggesa kerajaan membentangkan garis masa kerja bagi penubuhan SEGiM yang merangkumi kerangka perundangan, struktur organisasi, peruntukan kewangan dan mandat operasi.
Menurutnya, tanpa dokumen perancangan rasmi, RUU Pekerja Gig berisiko menjadi dasar yang tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Persatuan menyokong usaha kerajaan melindungi kebajikan pekerja gig, tetapi pelaksanaan tergesa-gesa tanpa infrastruktur kawal selia kukuh akan melemahkan tujuan asal undang-undang itu,” tegasnya.
Beliau berharap kerajaan mengambil kira pandangan pemegang taruh, memastikan penyelarasan rentas kementerian serta memberi keutamaan kepada penubuhan SEGiM sebagai badan regulatori nasional sebelum menggubal undang-undang berkaitan pekerja gig.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

