Ramai belia Perak terjebak dadah

IPOH – Isu penagihan dadah di Perak berada pada tahap membimbangkan apabila sebanyak 14,534 kes penyalahgunaan dadah direkodkan sepanjang tahun 2024.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, daripada jumlah itu, seramai 7,488 golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun terlibat dengan najis dadah.
Menurut Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Perak itu, statistik tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan lagi usaha kesedaran dan pencegahan di semua peringkat masyarakat.
“Jadi, ini data yang pada saya agak membimbangkan untuk kita.
“Sebab itu Pemadam negeri Perak dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sentiasa giat melaksanakan program kesedaran melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mini Pemadam Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), di sini pada Sabtu.
Ujarnya, program anjuran kali ketiga berturut-turut itu menarik penyertaan lebih 1,500 peserta, sekali gus meningkat berbanding 800 orang pada tahun lalu.
“Peningkatan penyertaan ini membuktikan kesedaran semakin meningkat.
“Kita libatkan pelbagai segmen termasuk kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas melalui pelbagai aktiviti seperti explorace, fun run, pertandingan mewarna dan debat,” katanya.
Tambahnya, antara kejayaan Pemadam adalah kewujudan pasukan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan IPT swasta, yang kini mencecah 150 orang.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain bekerjasama dengan AADK dan Jabatan Penjara, Pemadam juga menjalin kerjasama dengan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang membawa hasil kerja tangan klien mereka untuk dipamerkan di reruai pameran.
Dalam perkembangan lain, Mohd Azlan berkata, isu penggunaan rokok elektronik (vape) turut diberi perhatian dan berada di bawah pemantauan kerajaan negeri.
“Saya yakin Menteri Besar Perak akan membuat pengumuman berkaitan isu vape ini.
“Buat masa ini, kita sedang meneliti langkah terbaik untuk menangani penyebaran vape, terutama dalam kalangan remaja,” jelasnya.
Beliau juga menggesa agar penglibatan masyarakat dalam usaha memerangi dadah tidak disandarkan sepenuhnya kepada AADK semata-mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

