Bayi dua bulan positif batuk kokol, kes pertama di Perak

IPOH - Seorang bayi lelaki berusia dua bulan disahkan positif batuk kokol (pertussis), menjadikannya kes pertama yang dikesan di Perak tahun ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, kes membabitkan bayi tersebut telah disahkan positif selepas menjalani ujian makmal dan menerima rawatan antibiotik sebelum sembuh sepenuhnya.
“Bayi itu hanya sempat menerima satu dos vaksin DTP (Difteria, Pertussis dan Tetanus) sebelum mula menunjukkan gejala.
“Hasil siasatan lanjut juga mendapati empat kontak rapat kepada bayi berkenaan adalah negatif,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Sivanesan berkata, situasi penyakit tersebut di Perak secara keseluruhan adalah terkawal dengan penurunan drastik sebanyak 96.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, setakat 19 Julai lepas, hanya satu kes disahkan berbanding 29 kes pada tempoh sama tahun lalu.
“Tiada kes kematian dilaporkan dan tiada wabak pertussis berlaku setakat ini,” katanya.
Sivanesan turut menekankan bahawa kanak-kanak, terutamanya bayi merupakan kumpulan paling rentan terhadap jangkitan batuk kokol.
Justeru katanya, liputan imunisasi lengkap dalam kalangan kanak-kanak harus dikekalkan melebihi 95 peratus untuk memastikan golongan ini dilindungi daripada mendapat jangkitan.
“Kita nasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak menerima pelalian lengkap pertussis pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan seperti yang dijadualkan. Jangan anggap batuk biasa sebagai sesuatu yang remeh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

