Insurans: Hari ini kita sihat, esok belum tentu

Statistik menunjukkan hanya 18 peratus rakyat Malaysia ada perlindungan kesihatan mencukupi. Gambar hiasan 123RF
Statistik menunjukkan hanya 18 peratus rakyat Malaysia ada perlindungan kesihatan mencukupi. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BARU-BARU ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan menggunakan Akaun 2 iaitu Akaun Sejahtera untuk membiayai premium bulanan insurans kesihatan.

Jika diluluskan kerajaan, kira-kira 16 juta pencarum KWSP akan berpeluang menikmati perlindungan insurans kesihatan termasuk rawatan di hospital swasta.

Berdasarkan statistik, kira-kira 32 peratus kos penjagaan kesihatan di negara ini dibayar sendiri oleh pesakit tanpa perlindungan insurans.

Statistik turut menunjukkan hanya 18 peratus rakyat Malaysia ada perlindungan kesihatan mencukupi. Majoriti muflis akibat kos rawatan dan hutang perubatan.

Ramai menganggap insurans sebagai kos tambahan yang membebankan. Tetapi realitinya, insurans bukan kemewahan tetapi satu keperluan.

Dalam dunia yang tidak menentu hari ini, kemalangan, penyakit serius atau kehilangan boleh memusnahkan simpanan seumur hidup.

Mungkin ada yang kata, “Insurans ini untuk orang kaya.” Atau, “Saya sihat, tak perlulah.” Ada juga yang kata, “Saya ada simpanan, tak perlu insurans.”

Sebenarnya insurans bertindak sebagai payung perlindungan kewangan — bukan untuk menghalang musibah, tetapi untuk mengurangkan beban apabila musibah berlaku.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia menghadapi musibah? Musibah tak kenal masa.

Artikel Berkaitan:

Sakit, kemalangan, kematian — semua itu bukan pilihan. Ia datang tanpa diduga. Hari ini kita sihat, esok belum tentu.

Kos rawatan pula semakin tinggi. Satu malam di hospital swasta boleh cecah RM2,000 hingga RM5,000. Rawatan jantung? RM80,000. Kanser? Berpuluh ribu ringgit setahun.

Apa jadi kalau kita tak ada simpanan yang cukup, tak ada pencen dan tak ada insurans. Akhirnya terpaksa guna KWSP, minta daripada anak cucu.

Mungkin terpaksa jual motor, rumah dan tanah. Atau lebih teruk, terpaksa buat pinjaman dengan along atau berhutang di sana sini.

Islam tidak pernah menghalang usaha melindungi diri. Nabi SAW sendiri bersabda: “Ikatlah unta kamu dahulu, kemudian bertawakallah.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

Kita tidak tahu bila musibah akan datang. Tapi kita tahu kita boleh bersedia hari ini. Jangan tunggu sakit baru mahu mencari perlindungan.

Ketika itu, mungkin sudah terlambat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!