Wang simpanan, KWSP RM436,000 lesap ditipu pelaburan saham tidak wujud

GEORGE TOWN - Seorang pesara wanita berusia 62 tahun mengalami kerugian sebanyak RM436,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tawaran awam permulaan (IPO) tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut menerima laporan daripada mangsa pada 12 Jun lalu.
Menurutnya, mangsa yang juga bekas pengurus program sebuah syarikat penerbangan itu mendakwa diperdaya menyertai pelaburan yang dipromosikan dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Enspire Capital’.
“Mangsa diminta memuat turun aplikasi Freeman Plus yang kononnya digunakan sebagai platform pelaburan dan kemudiannya membuat 56 transaksi pindahan wang ke empat akaun syarikat berbeza antara 12 Mei hingga 2 Jun lalu.
“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, malah suspek terus meminta wang tambahan sebelum mangsa menyedari telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, wang yang dilaburkan adalah daripada simpanan peribadi dan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Mohd Alwi menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, terutama yang hanya dipromosikan menerusi media sosial dan aplikasi pesanan segera.
“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa atau menerusi portal rasmi seperti https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengesahkan status akaun bank atau syarikat terbabit.
“Polis komited membanteras jenayah penipuan seumpama ini dan memohon masyarakat supaya sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

