'Hari ini saya penentang nombor satu Presiden' - Hamzah

KUALA LUMPUR -[DIKEMAS KINI] “Dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) saya bangun katakan saya orang nombor satu penyokong kepada Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin), hari ini saya nak beritahu, sayalah penentang nombor satu kepada Presiden”
Demikian ucapan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin sewaktu berucap pada Taklimat Halatuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada Sabtu.
Beliau turut mendakwa tindakan pemecatan ke atas dirinya daripada parti disebabkan oleh perkara yang dirinya tidak ketahui.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam PAT. Saya ingin memaklumkan kepada semua, saya tidak tahu kenapa saya dipecat.
“Hari ini saya dipecat kerana tidak mengawal perkara yang saya tidak tahu… Hantu apa yang ada dalam parti ini?” soal beliau.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat rayuan untuk kepada kepada Bersatu.
“Saya minta maaf kepada sahabat kerana tidak akan kembali kepada parti, saya tidak akan buat rayuan setelah apa yang dilakukan kepada saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengingatkan Muhyiddin bahawa beliau akan terus bangkit bersama rakan-rakan perjuangan yang lain walaupun dipecat.
"Muhyiddin, bagi tahu rakan-rakan kamu, hari ini saya akan bangkit, masih bersama rakan-rakan saya," katanya.
Pada Jumaat, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan 17 ahli termasuk Timbalan Presiden, Hamzah.
Ahli Parlimen Larut itu dipecat hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana tindakan Ahli Parlimen Larut tersebut melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Menurut Fasal 9.1.4, setiap ahli wajib mematuhi Perlembagaan parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti.
Ringkasan AI
- Hamzah Zainudin mengumumkan dirinya sebagai penentang nombor satu kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin
- Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia mendakwa pemecatan dirinya dari parti disebabkan oleh perkara yang tidak diketahui
- Beliau menyatakan ketidaktahuan tentang sebab pemecatannya dalam Perhimpunan Agung Tahunan
- Hamzah menyoal tentang 'hantu' apa yang ada dalam parti yang menyebabkan pemecatannya
- Hamzah, Ahli Parlimen Larut, menyatakan tidak akan membuat rayuan untuk kembali ke Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
