Bangunkan silibus Sejarah berteras fakta

Sejarah yang seimbang dan bebas daripada pengaruh politik kepartian serta kerangka kolonial akan melahirkan warganegara yang lebih yakin terhadap identiti dan warisan mereka. Foto hiasan
Sejarah yang seimbang dan bebas daripada pengaruh politik kepartian serta kerangka kolonial akan melahirkan warganegara yang lebih yakin terhadap identiti dan warisan mereka. Foto hiasan
A
A
A

USAHA kerajaan memastikan silibus Sejarah di sekolah bebas daripada politik kepartian wajar disambut baik oleh semua pihak. Sejarah bukan medan propaganda, sebaliknya wahana pembinaan jati diri bangsa.

Apabila kurikulum dirangka dengan lebih objektif dan berteraskan fakta, generasi muda berpeluang memahami perjalanan negara secara matang, kritis dan seimbang.

Namun, perbahasan tentang kebebasan politik dalam silibus tidak seharusnya terhenti setakat itu. Cabaran lebih besar ialah meluruskan kembali naratif sejarah yang sekian lama dibentuk melalui kerangka kolonial.

Banyak catatan berkaitan Tanah Melayu dan Malaysia masih dibayangi tafsiran penjajah yang menonjolkan kepentingan mereka, sekali gus mengecilkan peranan masyarakat tempatan.

Konflik Perjanjian Kedah–Pulau Pinang, sejarah pembukaan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta kisah sebenar Perjanjian Pangkor di Dinding, Perak antara contoh penting yang menuntut penelitian semula.

Dapatan pengkaji sejarah ketamadunan Melayu dan Malaysia sejak beberapa dekad lalu menunjukkan wujud jurang antara naratif lama dengan bukti baharu.

Jika jurang ini tidak diperbetulkan, generasi seterusnya akan terus mewarisi kefahaman yang tersasar, sekali gus menafikan keagungan dan kekuatan sebenar kerajaan kesultanan Melayu terdahulu.

Meluruskan sejarah bukan bermaksud menafikan fakta atau menulis semula masa lalu mengikut sentimen semasa.

Sebaliknya, ia menuntut keberanian akademik untuk menilai sumber, membandingkan tafsiran dan mengangkat dapatan penyelidikan terkini. Silibus yang baik ialah silibus yang hidup dengan ia sentiasa ditambah baik selari perkembangan ilmu.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya, sejarah yang seimbang dan bebas daripada pengaruh politik kepartian serta kerangka kolonial akan melahirkan warganegara yang lebih yakin terhadap identiti dan warisan mereka.

Di situlah peranan sebenar pendidikan sejarah: membina bangsa yang tahu asal-usulnya, lalu lebih bersedia menentukan masa depan.

Selain itu, proses meluruskan sejarah perlu melibatkan kerjasama rapat antara kementerian, ahli akademik, arkib negara dan pengkaji bebas supaya semakan dibuat secara telus serta berterusan.

Pendekatan pelbagai disiplin akan memastikan setiap pembetulan bersandar pada bukti kukuh bukan sentimen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!