Jangan berebut, SARA ada hingga Disember

Walaupun nilai RM100 mungkin tampak kecil bagi sesetengah pihak, namun dalam realiti ekonomi hari ini, ia memberi makna besar kepada yang lain. Foto Bernama
Walaupun nilai RM100 mungkin tampak kecil bagi sesetengah pihak, namun dalam realiti ekonomi hari ini, ia memberi makna besar kepada yang lain. Foto Bernama
A
A
A

PENYALURAN Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun kedua yang bermula Isnin lalu menzahirkan kesinambungan komitmen kerajaan menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin mencabar.

Dengan peruntukan besar berjumlah RM2.2 bilion bagi tahun 2026, bantuan RM100 secara sekali bayar itu memberi manfaat kepada lebih 22 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas.

Satu perkara penting yang perlu difahami ialah bantuan ini sah digunakan sehingga 31 Disember 2026.

Justeru, penerima tidak perlu bersesak atau berebut menebusnya di pasar raya. Tempoh panjang ini membolehkan perancangan perbelanjaan dibuat mengikut keperluan sebenar keluarga tanpa tekanan masa.

Kesesakan di kaunter pasar raya hanya akan menyulitkan semua pihak, sedangkan matlamat SARA adalah untuk memudahkan urusan rakyat.

Di sebalik bantuan itu, sebenarnya terselit peluang untuk rakyat mengamalkan sikap empati, khususnya bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi warganegara yang berasakan kedudukan kewangan mereka masih stabil, ada dua pilihan murni yang boleh diambil. Pertama, memilih untuk tidak menuntut bantuan tersebut.

Berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak RM150 juta baki peruntukan yang tidak dituntut telah diagihkan semula kepada golongan rentan termasuk mangsa keganasan rumah tangga, pelajar orang kurang upaya (OKU), pembelian peranti perubatan bagi pesakit miskin dan penubuhan bank makanan dapur siswa.

Ia membuktikan setiap sen yang tidak dituntut tetap sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Kedua, jika memilih menebus bantuan, gunakanlah untuk membeli barangan keperluan asas bagi disedekahkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Dengan penambahan kategori barangan sejuk beku dan tenusu, pilihan untuk membantu orang lain kini lebih pelbagai.

Langkah ini bukan sahaja membantu meringankan beban mereka, malah menyuburkan semangat kesukarelawanan dalam komuniti.

Penghargaan sewajarnya diucapkan kepada kerajaan atas sumbangan berterusan ini. Walaupun nilai RM100 mungkin tampak kecil bagi sesetengah pihak, namun dalam realiti ekonomi hari ini, ia memberi makna besar kepada yang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!