Peraturan lama perlu diperbetulkan

LANGKAH Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semak semula semua pekeliling, peraturan dan garis panduan lama yang berusia lebih 20 tahun adalah tindakan tepat.
Mesej utama usaha ini jelas iaitu peraturan lama perlu dibetulkan supaya sistem kerja awam lebih relevan.
Di bawah Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, semakan perlu dibuat setiap tiga tahun. Peraturan yang tidak dikemas kini boleh menyebabkan kekeliruan, penguatkuasaan yang lemah, dan menjejaskan keyakinan awam.
Ekonomi dan peluang pelaburan kini berkembang pesat, termasuk akses mudah pegawai awam kepada pasaran saham dan platform kewangan digital. Oleh yang demikian, peraturan lama tidak lagi selari dengan keadaan semasa terutama pada zaman AI sekarang.
Isu pemilikan saham dan kerja luar pegawai awam adalah contoh mudah yang menunjukkan betapa peraturan lama memang kena diperbetulkan. Prinsip nak elak konflik kepentingan masih sama, tapi risiko zaman sekarang dah berubah.
Pengumuman semakan ini juga berlaku ketika isu pegangan saham pegawai kanan menjadi perhatian awam iaitu kes yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Azam menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pegangan saham sejak Julai tahun lalu.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa beliau masih memegang sebarang aset dan menyifatkan sebarang tuduhan seumpama itu sebagai tidak benar dan berniat jahat.
Walaupun JPA tidak mengaitkan semakan peraturan secara langsung dengan mana-mana individu, konteks ini menuntut tahap ketelusan yang lebih tinggi. Reformasi peraturan bukan reaksi terhadap tekanan, tetapi pembetulan sistem lama yang tertangguh.
Langkah ini juga sebahagian daripada agenda Reformasi Kerenah Birokrasi. Tujuannya adalah menutup ruang kelabu, memperjelas tanggungjawab, dan menyeragamkan pelaksanaan. Peraturan lama perlu diperbetulkan supaya integriti, akauntabiliti dan kecekapan perkhidmatan awam diperkukuh.
Ujian sebenar akan datang melalui kandungan garis panduan baharu, sejauh mana ia tegas, jelas dan boleh dikuatkuasakan. Dengan pembetulan substantif, semakan ini bukan sekadar kemas kini teknikal, tetapi asas untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem perkhidmatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
