Melindungi produk tempatan saja tak cukup

Usaha perlindungan pasaran semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan peningkatan kualiti produk tempatan. Foto fail Bernama.
Usaha perlindungan pasaran semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan peningkatan kualiti produk tempatan. Foto fail Bernama.
A
A
A

LANGKAH kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani lambakan barangan import merupakan langkah tepat dan wajar disokong.

Tindakan ini bukan sahaja dapat melindungi pasaran tempatan, malah menjadi perisai penting kepada kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang selama ini terhimpit oleh persaingan harga murah barangan dari luar negara.

Bagaimanapun, usaha perlindungan pasaran semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan peningkatan kualiti produk tempatan.

Apa yang dilakukan kerajaan ini seharusnya menjadi pencetus perubahan kepada pengusaha tempatan supaya lebih kompetitif dari segi mutu, inovasi dan kecekapan pengeluaran.

Tanpa penambahbaikan berterusan, produk tempatan tidak akan berubah dan pengusaha hanya 'berpeluk tubuh' bergantung sepenuhnya kepada perlindungan dasar, sekali gus melemahkan daya saing jangka panjang.

Terdapat beberapa cadangan boleh dipertimbangkan kerajaan. Antaranya, kerajaan perlu memperluaskan skim insentif dan geran inovasi bagi membantu PMKS meningkatkan teknologi, automasi dan reka bentuk produk.

Kedua, program pensijilan kualiti dan pematuhan standard perlu diperkukuhkan agar produk tempatan mampu menyaingi barangan import dari segi keselamatan dan ketahanan.

Sementara ketiga, latihan pemasaran digital dan penjenamaan harus dipertingkatkan supaya PMKS dapat menembusi pasaran e-dagang secara lebih agresif dan strategik.

Selain itu, kempen kesedaran membeli barangan tempatan perlu digiatkan secara konsisten, bukan bersifat bermusim. Pengguna juga harus dididik untuk menilai nilai jangka panjang, bukan semata-mata harga murah.

Artikel Berkaitan:

Tidak terkecuali dalam sektor pelancongan, penglibatan PMKS tempatan perlu dijadikan syarat utama bagi memastikan limpahan ekonomi dirasai secara menyeluruh.

Justeru, walaupun langkah kerajaan itu adalah wajar, namun kejayaannya bergantung kepada kesediaan industri tempatan untuk berubah, meningkatkan kualiti dan membina daya saing.

Perlindungan tanpa transformasi hanya memberi 'kelegaan' sementara kepada pengusaha tempatan, bukan penyelesaian jangka panjang.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!