[VIDEO] 'Tiada dasar wajib caruman Simpanan Shariah KWSP' - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang mewajibkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang beragama Islam mencarum bagi Simpanan Shariah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kadar dividen sama yang diumumkan antara Simpanan Konvensional dan Shariah mampu menggalakkan pencarum bertukar kepada Simpanan Shariah.

"Alhamdulillah kerana pengurusan KWSP, pertama kalinya kita catat dividen yang sama antara Konvensional dan Shariah. Dulu kita dikritik disebabkan perbezaan ini.

"Bagi saya, kesan ini penting kerana rekod ini dengan sendirinya akan memberi galakan kepada umat Islam untuk memindahkan kepada Simpanan Shariah. Jadi sebab itu kita tidak bercadang untuk mewajibkan (Simpanan Shariah).

"Tapi dengan bukti ini dan dengan beberapa siri galakan dan penerangan, kita harapkan jumlah (caruman Shariah) ini akan dapat ditambah. Tidak ada dasar untuk mewajibkan tapi menggalakkan," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Anwar ketika sesi jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama
Anwar ketika sesi jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Isam Mohd Isan (BN-Tampin) yang mahu tahu adakah kerajaan bercadang mewujudkan satu dasar baharu yang mewajibkan pencarum beragama Islam, mencarum Simpanan Shariah secara automatik.

Cadangan tersebut katanya, bagi mengelakkan simpanan mereka diragui dari segi halal haram.

Pada Sabtu, KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi iaitu 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Shariah.

Artikel Berkaitan:

Kadar dividen bagi Simpanan Konvensional adalah daripada jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; manakala bagi Simpanan Shariah, membabitkan agihan berjumlah RM10.19 bilion.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.

Sebelum itu, menjawab soalan tambahan daripada Chiew Choon Man (PH-Miri), sama ada pencapaian KWSP adalah satu tanda kukuh bahawa asas ekonomi negara berada dalam keadaan baik, Anwar berkata, penghargaan wajar diberikan kepada pengurusan KWSP sendiri atas prestasi, ketelusan dan kecekapan sehingga mencatatkan rekod yang baik.

"Setakat Disember 2024, perbanyak 63 peratus jumlah pelaburan KWSP adalah pasaran domestik. Iaitu RM 782 bilion.

"Pertumbuhan ini 11 peratus berbanding 2023. Pencapaian dividen yang juga kerana keyakinan pelaburan kepada dasar ekonomi Madani.

"Kita capai 51 peratus yang lebih tinggi daripada unjuran yang saya buat di sini tahun sebelumnya. Bursa, peningkatan itu 12.9 peratus. Ini satu peningkatan yang besar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!