Dr Akmal Salleh gesa Menteri Kesihatan campur tangan isu penempatan pegawai perubatan

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tidak memperlakukan pegawai perubatan Gred UD10 seperti 'bola', susulan isu teknikal dalam Sistem ePlacement yang menyebabkan pemilihan penempatan mereka dibatalkan.
Menurut beliau, sistem ePlacement yang dibuka pada 27 Februari lalu telah dibatalkan, dan pemilihan baharu dijadualkan berlangsung pada Isnin ini.
“Sekiranya sistem ini menghadapi masalah atau gangguan teknikal, KKM sepatutnya mempertimbangkan kaedah manual memandangkan ia hanya melibatkan penempatan lebih 2,000 individu sahaja.
“Sebagai alternatif, KKM juga boleh mengekalkan pemilihan yang telah dibuat pada 27 Februari lalu, lebih-lebih lagi kerana tarikh lapor diri pegawai perubatan adalah pada Mei ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, menegaskan bahawa pegawai perubatan yang terlibat sudah pun bekerja dalam jadual yang padat dan tidak sepatutnya diperlakukan sebegini.
"Jangan buat mereka macam bola, ditendang ke sana ke sini. Mereka sudah cukup penat bekerja, jadual di hospital perlu diatur, tetapi layanan yang mereka terima ini sangat mengecewakan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk segera campur tangan bagi menyelesaikan isu ini dan memastikan lebih 2,000 pegawai perubatan mendapat penempatan mereka tanpa sebarang kelewatan.
"Saya mohon agar Menteri Kesihatan mengambil tindakan tuntas bagi membantu adik-adik kita ini mendapatkan penempatan dengan segera," katanya.
Terdahulu, KKM dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa pemilihan baharu bagi penempatan pegawai perubatan akan dibuka semula melalui sistem ePlacement pada Isnin, jam 3 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

