Ahli Parlimen, ADUN Bersatu dipecat terikat Akta Anti Lompat Parti

KOTA BHARU – Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat masih tertakluk kepada peruntukan Akta Anti Lompat Parti dan tidak boleh sewenang-wenangnya menyertai parti lain.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, mereka yang dipecat kini berstatus ‘bebas’ dan juga satu kedudukan rasmi di bawah undang-undang.
“Ramai lupa, Akta Anti Lompat Parti menghalang seorang ahli Parlimen itu mengubah kedudukan beliau daripada satu parti kepada parti lain semasa menjadi ahli Parlimen.
“Apabila dipecat, statusnya bebas, tapi jika beliau masuk parti lain, beliau sudah ubah status daripada bebas menjadi ahli parti baharu, maka terikat dengan akta dan boleh menyebabkan kekosongan kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Kelantan di Gelanggang Seni, di sini, pada Sabtu.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan, antara 17 pemimpin yang dipecat keahliannya daripada Bersatu pada Jumaat, mendedahkan bahawa beliau menerima 'tawaran' daripada Pas pada hari sama.
Azahari malah mengaku dihubungi Pas dan melakukan perbincangan bersama.
Kamarudin menjelaskan, sebarang kekosongan kerusi bergantung kepada keputusan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), tertakluk kepada tempoh dan implikasi terhadap majoriti kerajaan.
“Kalau kes seorang itu menyebabkan kerajaan hilang majoriti, maka wajib diadakan pilihan raya walaupun tempoh penggal berbaki beberapa bulan,” ujarnya.
Menurut beliau, situasi itu perlu difahami dengan jelas agar tidak timbul salah tafsir dalam kalangan masyarakat mengenai implikasi undang-undang terhadap wakil rakyat yang dipecat parti.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu yang dipecat masih tertakluk kepada Akta Anti Lompat Parti
- Mereka yang dipecat kini berstatus 'bebas' namun tidak boleh sewenang-wenangnya menyertai parti lain
- Jika ahli Parlimen yang berstatus bebas menyertai parti lain, akan menyebabkan kekosongan kerusi
- Kekosongan kerusi bergantung kepada keputusan SPR dan implikasi terhadap majoriti kerajaan
- Situasi ini menyebabkan keperluan untuk pemilihan raya jika menyebabkan kerajaan hilang majoriti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

