Rayuan SIS: Keputusan mahkamah beri implikasi besar – Mapim

SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) berhubung fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, memberi kesan besar terhadap kedaulatan Islam serta institusi fatwa di negara ini.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, terdapat implikasi serius terhadap keputusan tersebut, termasuk mencabar kedaulatan institusi fatwa dan autoriti mufti yang sekian lama diiktiraf sebagai badan autoritatif dalam urusan hukum syarak di Malaysia.
“Mapim turut melihat keputusan itu sebagai mengurangkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan apabila keputusan agama boleh dibatalkan atas alasan pentadbiran semata-mata tanpa mengambil kira prinsip-prinsip fiqh dan maslahat umat.
“Selain itu, keputusan tersebut dikhuatiri memberi ruang kepada golongan liberal, sekular dan Islamofobia untuk terus mempersoalkan fatwa lain yang telah diwartakan, sekali gus membuka jalan kepada normalisasi pemikiran songsang dan melemahkan kerangka perlindungan akidah umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, antara implikasi lain ialah melemahkan peranan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam negeri yang sepatutnya menjadi pelindung kepada institusi-institusi syariah termasuk fatwa.
Disebabkan itu, Mohd Azmi memaklumkan Mapim prihatin dan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada tahun 2014.
“Fatwa itu telah diwartakan secara sah menurut peruntukan undang-undang negeri. Namun, Mahkamah Persekutuan pada 14 Jun 2025 memutuskan fatwa tersebut tidak sah atas alasan prosedur pentadbiran dan pematuhan kepada undang-undang sivil, bukan kerana kandungannya secara syariah,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan bahawa fatwa yang diwartakan oleh pihak berautoriti negeri adalah sebahagian daripada pelaksanaan Islam sebagai agama Persekutuan dan mesti dihormati serta tidak diganggu oleh tangan-tangan luar bidang.
“Selain itu, perlu ada pindaan kepada undang-undang berkaitan fatwa dan pentadbiran agama Islam agar lebih kukuh menghadapi cabaran yang datang daripada ideologi liberal dan tuntutan hak asasi yang bertentangan dengan syarak,” menurutnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia bersatu mempertahankan kewibawaan fatwa dan tidak membiarkan keputusan itu menjadi ‘preseden’ yang merosakkan institusi agama.
Mohd Azmi turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk mencabar akidah dan hukum Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

