Isu SIS Forum (Malaysia): Keputusan mahkamah akan diteliti

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM- Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes cabaran keabsahan fatwa berhubung fahaman liberalisme dan pluralisme agama oleh SIS Forum (Malaysia) akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan serta kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam mengenai isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah.

Justeru, katanya, kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting.

"Ia bagi memastikan fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara kita.

"Saya mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan yang telah memihak kepada SIS Forum (Malaysia).

"Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, SIS Forum (Malaysia) dilaporkan berjaya dalam rayuannya berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan sebahagian rayuan tersebut.

Panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta membenarkan rayuan perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa kepada pertubuhan dan institusi.

Dalam keputusan majoriti 3-1, Tengku Maimun menyatakan bahawa keputusan itu hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi persekutuan (perintah terperinci adalah sebagaimana dinyatakan dalam alasan penuh penghakiman).

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Na’im, Kerajaan Madani akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara.

"Pada masa sama, kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!