Arab Saudi tetapkan bayaran dam sebagai pra syarat visa haji

Arab Saudi tetapkan bayaran dam sebagai pra syarat visa haji. Gambar hiasan
Arab Saudi tetapkan bayaran dam sebagai pra syarat visa haji. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Arab Saudi menetapkan setiap bakal jemaah haji melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu membuat bayaran dam sebagai pra syarat proses pengeluaran visa haji mulai musim Haji 1447H/2026M.

Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan, bayaran dam lebih awal terbabit perlu dilakukan kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI)

Menurutnya, TH akan menguruskan pembayaran dam kepada ADAHI bagi pihak jemaah, manakala jumlah bayaran ditetapkan bagi musim haji itu adalah RM810 bagi seekor kibas.

"Bayaran dam perlu ditunaikan setiap jemaah mengikut jenis ibadat haji dipilih. Bakal jemaah haji tahun ini boleh membuat pembayaran dam melalui aplikasi THiJARI dan di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan.

"Bagi jemaah tidak membuat bayaran awal, bermula 1 Syawal, TH akan menguruskan pembekuan jumlah tersebut daripada akaun TH mereka, diikuti proses pendebitan amaun daripada akaun masing-masing selepas itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu ditetapkan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim haji ini.

Beliau berkata, TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji.

Justeru, semua bakal haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran diingatkan perlu melaksanakan bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci.

Bagi bakal jemaah haji melakukan haji Ifrad, jumlah bayaran tersebut akan dipulangkan semula sekiranya akaun TH telah didebitkan dan selepas perakuan dibuat, tertakluk kepada pengesahan oleh pihak TH.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, penyertaan korban di Tanah Suci pada tahun ini pula adalah terbuka kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas, dengan pembayaran korban boleh dilakukan melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH seluruh negara.

Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam dan korban di Tanah Suci yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak mungkin mengambil kesempatan.

Hal ini disebabkan kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi diperlukan untuk melaksanakan dam dan korban di Tanah Suci.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Arab Saudi menetapkan bayaran dam sebagai pra-syarat untuk pengeluaran visa haji Tamattuk dan Qiran mulai musim Haji 1447H/2026M
  • Lembaga Tabung Haji akan menguruskan pembayaran dam kepada ADAHI bagi jemaah dengan jumlah bayaran RM810 bagi seekor kibas
  • Bayaran dam perlu ditunaikan mengikut jenis ibadat haji dipilih dan boleh dibuat melalui aplikasi THiJARI dan di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan
  • Jika jemaah tidak membuat bayaran awal, Tabung Haji akan menguruskan pembekuan jumlah tersebut daripada akaun mereka bermula 1 Syawal
  • Penyertaan korban di Tanah Suci adalah terbuka kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas, pembayaran boleh dilakukan melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!