RAC perkukuh infrastruktur rel, projek kereta api Seremban berjalan lancar

SEREMBAN - Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) terus memperkukuhkan komitmennya terhadap pembangunan sistem pengangkutan rel negara melalui pendekatan pelaksanaan projek infrastruktur secara strategik.
RAC dalam kenyataan memaklumkan projek membaik pulih bangunan Stesen Kereta Api Seremban yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini berada pada fasa akhir.
"Projek itu telah memasuki kerja-kerja melibatkan sistem mekanikal dan elektrikal, kemasan akhir bangunan serta proses pengujian dan pentauliahan sistem bagi memastikan piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan dipenuhi sepenuhnya.
"Projek ini disasarkan untuk diserahkan pada 16 Mac ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagi projek pembangunan Stesen Kereta Api Seremban yang baharu di bawah Projek Menaik Taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2), tumpuan diberikan kepada pembinaan infrastruktur stesen kereta api yang moden sebagai pelengkap kepada rangkaian rel sedia ada.
Menurut kontraktor, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, kesemua kerja melibatkan cerucuk utama bagi struktur bumbung dan blok komersial telah berjaya disiapkan.
Tambahnya, proses fabrikasi serta pemasangan tiang utama dan struktur kekuda bumbung dilaksanakan di tapak projek menggunakan kepakaran tenaga tempatan.
"Fasa pemasangan komponen ini merupakan antara kerja paling mencabar dari sudut teknikal berikutan kedudukannya berhampiran dengan talian Overhead Electrical Catenary System (OCS) berkuasa 25,000 volt dan kini sedang giat dilaksanakan dengan pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan.
"Sebanyak 25 tiang utama berjaya didirikan dan baki pemasangan dijangka siap menjelang Jun dengan keseluruhan projek disasarkan siap pada akhir tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, RAC memaklumkan status kemajuan projek KVDT2 kini telah mencapai 50 peratus.
Katanya, kerja menaik taraf landasan bagi laluan naik (UL) Kuala Lumpur – Pelabuhan Klang sepanjang 52 kilometer telah siap sepenuhnya, manakala kerja sistem semboyan dan komunikasi berada di peringkat akhir dengan penyerahan kepada KTMB disasarkan pada Mac ini.
"Kerja menaik taraf landasan bagi laluan turun (DL) dari Kajang ke Seremban telah diserahkan sepenuhnya kepada KTMB dan bagi laluan naik (UL) dari Batang Benar hingga ke had projek KVDT2 di Stesen Bandar Tasik Selatan, kerja-kerja naik taraf kini sedang diberi tumpuan oleh pasukan projek.
"Sebagai kesinambungan, fasa seterusnya projek ini akan memberi tumpuan kepada laluan naik (UL) dari Seremban ke Batang Benar bagi memperkukuh jaringan rel negara secara menyeluruh," ujarnya lagi.
Terdahulu, sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, satu sesi edaran pek perayaan kepada penumpang perkhidmatan ETS telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Stesen Kuala Lumpur Sentral hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri.
Program anjuran bersama RAC dan KTMB itu merupakan tanda penghargaan kepada para penumpang yang setia menggunakan perkhidmatan rel semasa cuti perayaan.
Delegasi menteri yang turun di Stesen Kereta Api Seremban seterusnya dibawa mendengar taklimat mengenai projek-projek perkeretaapian yang sedang dilaksanakan di bandar tersebut.
Ringkasan AI
- Perbadanan Aset Keretapi terus memperkukuhkan pengangkutan rel melalui pelaksanaan projek infrastruktur
- Projek membaik pulih Stesen Keretapi Seremban dilaksanakan oleh JKR dan berada pada fasa akhir
- Projek pembangunan Stesen Keretapi Seremban melibatkan pembinaan infrastruktur stesen yang moden
- Kerja melibatkan cerucuk utama untuk struktur bumbung dan blok komersial telah disiapkan oleh Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd
- Status kemajuan projek KVDT2 telah mencapai 50 peratus dengan kerja menaiktaraf landasan dan sistem semboyan di peringkat akhir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
