503 kes baharu tibi dikesan - KKM

KUALA LUMPUR - Sebanyak 503 kes baharu tuberkulosis atau tibi dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini (ME 5/2026) menjadikan bilangan keseluruhan kes kepada 2,571 setakat ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 614 kes diikuti Selangor (476 kes), Sarawak (257 kes), Johor (233 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (202 kes).
Sebanyak 148 kes direkodkan di Pulau Pinang, Kedah (144 kes), Perak (127 kes), Kelantan (96 kes), Pahang (81 kes), Terengganu (60 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Melaka (42 kes), Perlis (17 kes) dan Labuan (16 kes).
Sehubungan itu, menjelang musim perayaan dan cuti panjang, KKM menasihatkan orang ramai lebih peka terhadap pencegahan penyakit itu dengan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.
KKM juga menasihatkan individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau susut berat badan segera menjalani saringan di fasiliti kesihatan terdekat.
"Langkah ini bukan sahaja berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri malah tanggungjawab sosial yang amat penting bagi melindungi diri, keluarga serta komuniti daripada risiko jangkitan penyakit berjangkit,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 503 kes baharu tuberkulosis dikesan di seluruh negara hingga ME 5/2026
- Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 614 kes
- KKM menasihatkan orang ramai mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul serta memakai pelitup muka di kawasan sesak
- Individu dengan gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau susut berat badan disarankan untuk menjalani saringan kesihatan
- Langkah pencegahan penting sebagai tanggungjawab sosial untuk melindungi diri dan komuniti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
